|
Zolkafli bersama mesin pembakar lemang ciptaan penyelidik MARDI. Foto: myMetro |
|
Walaupun tidak menggunakan buluh, daun pisang masih digunakan dalam pembakaran lemang. Foto: myMetro |
|
Cara memasukkan daun pisang. Foto: myMetro |
|
Tiub pembakar lemang terdiri daripada kelongsong dalam dan luar. Foto: myMetro |
|
Zolkafli (kanan) menunjukkan cara penggunaan mesin pembakar lemang kepada kakitangan MARDI. Foto: myMetro |
|
Lemang yang siap dibakar tidak berubah rasanya dan masak sekata. Foto: myMetro |
Ramuannya nampak ringkas kerana menggunakan bahan utama seperti beras pulut dan santan.
Namun, proses pembuatan lemang tradisional agak rumit bagi kebanyakan orang terutama mendapatkan buluh mengikut saiz dan tempoh membakar yang lama.
Pemilihan kayu juga penting untuk menghasilkan bara yang baik, sekali gus memastikan lemang benar-benar masak.
Sebenarnya, proses pembakaran lemang sudah melalui fasa evolusi yang boleh dibanggakan.
Ia hasil ciptaan inovasi Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan Bahagian Mekanisasi dan Automasi MARDI, Shamsuddin Ahmad.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Zolkafli Aris berkata, teknologi pembakaran lemang mula dibangunkan kumpulan penyelidik MARDI sejak 1988.
“Dulu, kaedah pembakaran hanya menggunakan dapur gas, tetapi melalui tiga fasa perubahan hingga kini, ia turut menggunakan dapur elektrik,” katanya.
Berbanding menggunakan kaedah tradisional, tempoh memasak lemang menggunakan mesin mengambil masa singkat.
“Kaedah membakar lemang secara tradisional mengambil masa sehingga lima jam dan bara perlu dijaga bagi mengelak lemang hangus.
“Tujuannya untuk memastikan lemang masak sekata.
“Bagaimanapun, menerusi inovasi ini, tempohnya dipendekkan kepada dua jam,” katanya.
Paling mustahak katanya, teknologi dibangunkan mesra alam kerana tidak menggunakan buluh, sebaliknya besi tahan karat yang boleh diguna semula.
Katanya, mesin pembakar lemang sesuai untuk kegunaan komersial dan domestik.
“Mesin yang mempunyai empat kelongsong untuk kegunaan domestik, manakala 13 dan 25 kelongsong khusus untuk komersial.
“Saiz lemang yang dihasilkan lebih konsisten berdasarkan tinggi dan ukur lilit kelongsong lemang,” katanya.
Menurutnya, lemang yang menggunakan besi tahan karat juga tidak berubah rasanya dan masak sekata.
“Biasanya lemang buluh berkerak, tetapi mesin ini boleh dimasak ikut keperluan pengguna.
“Jika disimpan dalam peti sejuk, lemang dapat bertahan lebih lama dan boleh dihidangkan semula selepas selesai proses nyahbeku,” katanya.
Sehingga kini katanya, 100 unit mesin pembakar lemang dijual kepada orang ramai melalui syarikat pemegang lesen.
“Malah, ada usahawan yang memasarkan produk lemang yang menggunakan mesin ini secara komersial termasuk di pasar raya, kios makanan, pasar tani dan tempahan,” katanya terdapat 10 usahawan aktif memasarkan lemang terbabit.
MARDI juga dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencipta mesin lemang yang lebih mudah dan praktikal semudah memasak nasi. - myMetro/ Mohd Sabran Md Sani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.