Dahulu, kita asalnya hanyalah berupa sperma, yang berjaya berenang dan mengalami persenyawaan |
Hanya selepas empat minggu barulah kita mempunyai muka dan leher |
Selepas lapan minggu, kelopak mata, telinga, tangan dan kaki kita terbentuk |
Selepas 12 minggu, jari tangan kita semakin panjang, degupan jantung kita boleh didengar dan kita mampu bergerak |
Selepas 16 minggu, mata kita sudah boleh berkelip dan sifat fizikal kita semakin nyata |
Selepas 20 minggu, kita sudah mampu menghisap ibu jari, menguap, meregang, dan menggerakkan muka |
Selepas 28 minggu, fizikal kita semakin besar dan kita semakin berat dan pergerakan kita semakin kuat |
Selepas 38 minggu, sifat fizikal kita telah sempurna dan kita bersedia untuk dilahirkan |
Alhamdulillah, kini kita telah dilahirkan dan hari ini kita telah menjadi semakin dewasa dengan pengalaman yang bertambah. Maka pada hari ini marilah kita merenung asal-usul kita.
Allah melalui al-Quran mengingatkan kita sebagaimana berikut:
"Bukankah Kami telah menciptakan kamu daripada air (benih) yang sedikit dipandang orang?" ayat 20, Surah al-Mursalat.
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta" ayat 12 - 14, Surah Al-Mukminun.
Lalu, untuk tujuan apa kita berada di dunia ini? Adakah kehadiran kita di bumi ini tanpa sebarang tanggungjawab? Allah telah menjelaskan sebagaimana berikut:
"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air mani yang bercampur (daripada benih lelaki dan perempuan); serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat" ayat 2, Surah al-Insan.
"Maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) dengan tiada sebarang tujuan? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" ayat 115, Surah al-Mukminun
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku" ayat 56, Surah adh-Dhariyat.
Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang yang sentiasa beriman kepada Allah, Tuhan Semesta Alam; dan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Dan semoga kita termasuk ke dalam kumpulan orang yang ikhlas dalam melaksanakan segala amal ibadah; ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.