Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 15 Ogos 2014

Penduduk Gaza Sedih Pakar Pemusnah Bom Terbunuh

Beratus-ratus penduduk Gaza bersedih ekoran kematian seorang anggota masyarakat yang disenangi dan amat berjasa

Rahed Taysir al-Hom terkorban semasa cuba mematikan sebutir bom seberat 500 kilogram pada pukul 10.30 pagi kelmarin

Rahed merupakan ketua unit yang bertanggungjawab melupuskan bom dan roket yang tidak meletup

Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan menjadikannya termasuk dalam golongan orang yang masuk syurga


BANDAR GAZA - Ketua Unit Pemusnah Bom di Gaza, Rahed Taysir al-Hom (gambar) selamat dikebumikan di tanah perkuburan Jabaliya, Gaza di kawasan kejiranan beliau dibesarkan tengah hari kelmarin. 
Upacara pengkebumiannya itu dihadiri oleh beratus-ratus penduduk yang sedih ekoran kehilangan seorang anggota masyarakat yang disenangi selain amat berjasa kepada penduduk Gaza. 
Bapa berusia 43 tahun itu merupakan ketua unit yang bertanggungjawab melupuskan bom dan roket yang tidak meletup di selatan Gaza sekali gus mengelak daripada mencederakan beratus-ratus penduduk tempatan. 
Penduduk di Gaza berdepan ancaman bom yang ditembak atau digugurkan dari udara oleh tentera Israel dan berada di jalan raya atau di celah runtuhan bangunan. 
Dia terkorban semasa cuba mematikan sebutir bom seberat 500 kilogram pada pukul 10.30 pagi kelmarin semasa pertempuran antara Israel dan Palestin berlarutan lebih sebulan. 
Dalam kejadian itu, tiga daripada rakannya termasuk dua wartawan juga terbunuh. 
Pada minggu lalu semasa gencatan senjata 72 jam dilaksanakan antara Israel dan Hamas, Rahed menerima 70 panggilan yang meminta bantuan mematikan bom. 
Dia berjaya melupuskan hampir 400 bom pelbagai jenis sepanjang konflik terbaharu di Gaza itu tercetus. 
"Saya mencuba sebaik mungkin," katanya ketika ditemu bual akhbar Guardian baru-baru in. 
"Isteri saya tahu, suatu hari nanti, saya akan pulang ke rumah dengan cebisan badan dalam keranda," katanya. 
Rahed bertanggungjawab mematikan bom, roket dan peluru sepanjang lima tahun daripada perkhidmatannya selama 20 tahun dalam pasukan polis Gaza. Dia ada menerima latihan daripada beberapa pakar antarabangsa tetapi kemahirannya lebih kepada pengalaman yang ditempuhi setiap hari sebelum ini. - Agensi/Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.