Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 23 Ogos 2014

M17: Negara Berkabung










SEPANG - Seluruh rakyat Malaysia termasuk pemimpin tertinggi negara diselubungi perasaan hiba sebaik 20 jenazah warga Malaysia MH17 tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat khas Penerbangan Malaysia (MAS) MH6129 jenis Boeing 747-F. 
Perasaan hiba itu semakin terasa apabila pihak berkuasa mengumumkan waktu bertafakur secara serentak di seluruh negara tepat pada pukul 10.55 pagi. 
Perasaan sugul jelas tergambar pada wajah ahli keluarga yang hadir dalam Istiadat Penghormatan Jenazah Warga Malaysia MH17 di kompleks itu. 
Ternyata mereka tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata di saat van jenazah yang membawa keranda waris masing-masing melintasi mereka. 
Keranda yang mula-mula diturunkan mengandungi jenazah Mastura Mustafa diikuti Ahmad Hakimi Hanapi, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, Nur Shazana Mohamed Salleh, Dora Shahila Kassim, Azrina Yakob dan lain-lain. 
Sebanyak 17 keranda dan tiga bekas abu mayat dilitupi Jalur Gemilang, tanda penghormatan tertinggi negara dan dibuat secara penuh istiadat ketenteraan. 
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berkongsi rasa hiba tersebut ketika bertafakur. 
Antara pemimpin negara yang turut hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, menteri-menteri Kabinet, wakil-wakil rakyat serta ramai lagi orang kenamaan. 
Kesemua mereka memakai baju Melayu dan baju kurung berwarna hitam. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.