Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 23 Mei 2013

Didakwa Rogol Dan Kahwini Gadis Bawah Umur

Gani Patail: Ini bukan satu kes yang mudah. Foto: Imej Google

Riduan Masmud, bapa kepada empat anak, didakwa merogol gadis bawah umur dan selepas itu mengahwini gadis itu. Foto: The Star


PUTRAJAYA: Pendakwaan akan terus mengendalikan kes seorang gadis berusia 12 tahun enam bulan di Sabah yang didakwa dirogol seorang pengurus sebuah restoran berusia 40 tahun. 
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya. 
“Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat kenyataan terbuka hari ini yang bertentangan dengan pendapat kami. Selalunya, kami tak akan cakap sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi dalam kes ini, anda memaksa saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip tertentu, dan saya tiada pilihan kerana isu ini perlu dihentikan. 
“Ini bukan satu kes yang mudah. Tolong faham dan biar kami selesaikan siasatan, berilah kepercayaan kepada kami untuk selesaikan tugas kami. Saya hanya boleh beritahu anda bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian rogol membabitkan kanak-kanak, namun pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan keadilan ditegakkan,” katanya kepada pemberita semalam. 
Abdul Gani berkata memandangkan mangsa enggan memberi keterangan, pasukan pendakwaan terpaksa bergantung kepada bukti lain seperti laporan Asid Deoksiri bonukleik (DNA), laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan laporan pegawai penyiasat berkaitan mangsa serta memeriksa akaun Facebook mereka, yang belum diperoleh. 
“Dalam perkara ini, saya ada seorang saksi di mana kawan perempuan itu duduk di belakang kereta, tetapi apabila duduk di belakang, apa yang kita Nampak adalah isu lain. Bagaimanapun, saya percayakan budak itu, jadi kita memerlukan keterangan lanjut daripada beliau dan kita perlu menganalisis keterangannya dengan teliti,” katanya. 
Riduan Masmud, bapa empat anak, didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika kes sedang berjalan. 
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya. 
Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April. 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chaw Siang Kong memberitahu mahkamah pada Isnin lepas bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji semula kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam. 
Abdul Gani juga berkata terdapat isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai ‘Sogit’, iaitu satu bentuk pampasan di bawah undang-undang anak watan atau adat Sabah. 
Bagaimanapun, Abdul Gani berkata beliau dimaklumkan bahawa tiada peraturan sedemikian di bawah undang-undang berkenaan daripada Mahkamah Adat, dan sehubungan itu, satu pasukan kecil khas dibentuk bagi menyiasat isu berkenaan. 
“Pada pandangan saya, pada masa ini tiada bayaran ‘sogit’ dari sudut perundangan. Maka saya mengesyaki ia sama seperti rasuah. Jadi saya mengarahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) masuk campur dalam perkara ini,” katanya. - Borneo Insider

Berita Pada 21.5.2013:
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah Datuk Jainab Ahmad. Foto: Sabahkini

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah diminta mengkaji kemungkinan mencabar kesahihan perkahwinan seorang lelaki dengan gadis bawah umur yang didakwa dirogolnya. 
Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad (gambar) berkata kementeriannya memandang serius perkara itu apatah lagi ia melibatkan kepentingan umum khususnya dalam melindungi masa depan kanak-kanak. 
Katanya JPKA perlu mengkaji kes itu daripada semua aspek termasuk kemungkinan mengambil atau memberi perlindungan kepada budak perempuan berumur 13 tahun itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. 
“Kita mahu jabatan kebajikan cabar perkahwinan itu…sebab kami masih mempersoalkan kesahihan perkahwinan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Pembentukan Imej Diri Untuk Keharmonian Keluarga di sini, hari ini. 
Jainab mengulas kes di Mahkamah Sesyen di sini semalam, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis bawah umur itu, yang kemudiannya memaklumkan dia telah berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah. 
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dan prihatin, kami amat terganggu dengan apa yang berlaku…kanak-kanak itu baru berusia 12 tahun 6 bulan…dia sepatutnya dilindungi tetapi dikahwinkan pula dengan lelaki yang merogolnya,” katanya. - Borneo Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.