Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 15 Mei 2013

41 Kenderaan Mewah Curi Dari Brunei Dipulangkan

Tan (kiri) melihat nombor pendaftaran sebuah kenderaan bersama Pengiran Haji Wahab (dua kiri) kelmarin. Foto: Borneo Post


KOTA KINABALU: Sebanyak 41 kenderaan mewah bernilai RM4 juta yang merupakan hasil rampasan daripada aktiviti penyeludupan di negeri ini, diserahkan semula secara berperingkat kepada pihak polis Brunei Darussalam bermula kelmarin. 
Timbalan Pesuruhajaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata pihaknya bertindak menyerahkan semula hasil rampasan itu setelah menerima arahan daripada mahkamah selain proses mengenal pasti pemilik kenderaan dari negara jiran itu berjaya diselesaikan baru-baru ini. 
Menurut beliau, penyerahan semua kenderaan itu merupakan sorotan kes pada Oktober 2011 membabitkan penahanan enam suspek lelaki tempatan berusia 26 hingga 54 tahun, termasuk seorang warganegara Brunei yang dikenal pasti dalang aktiviti terbabit. 
“Dua daripada suspek terlibat telah didakwa di mahkamah dan kita telah menerima arahan untuk menyerahkan semula kenderaan mewah ini kepada polis Brunei bagi tindakan lanjut. 
“Antara model kereta dirampas yang kita serahkan kepada mereka (polis Brunei) pada hari ini adalah jenis Lexus, Mercedes-Benz C230 Compressor, BMW, Toyota Vios bernilai antara Brunei Dollar 40,000 (RM96,513) hingga Brunei Dollar 100,000 (RM241,283),” katanya. 
Kesemua kenderaaan itu diserahkan oleh Tan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Brunei, Senior Asisten Komisioner Pengiran Haji Wahab Omar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin. 
Hadir sama Pengarah JSJ Negeri Sabah, Supt Saiman Kasran. 
Sementara itu, Tan berkata pihaknya akan mempertimbangkan langkah memperketatkan lagi tahap kawalan keselamatan di pintu masuk Sabah dan Brunei bagi menangani kes-kes membabitkan curi kenderaan. 
“Kita telah berbincang dengan rakan kita dari Brunei bagi memperketat langkah kawalan di pintu masuk kedua-dua negara bagi menangani sebarang insiden seperti ini berlaku di masa hadapan,” katanya. 
Terdahulu, kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu telah mendapat liputan meluas sekitar penghujung tahun 2011 dengan aktiviti terbabit dikatakan bermodus operandi menyewa kenderaan dari Brunei dan membawa masuk ke Sabah sebelum menukar nombor pendaftaran. 
Aktiviti terbabit juga difahamkan memalsukan cukai jalan kereta-kereta berkenaan sebelum dijual kepada pembeli di negeri ini di mana kebanyakannya ditemui di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Keningau. - The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.