Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 26 Mac 2014

Jokowi Calon Presiden Indonesia PDI-P Dikawal Ketat

Kawalan keselamatan ke atas Joko Widowo ditingkatkan sejak dia dicalon oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P)

Joko Widowo atau lebih dikenali sebagai Jokowi sedang bercakap kepada media

Jokowi, calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P)  sedang berkempen


JAKARTA - Kawalan keselamatan ke atas gabenor bandar raya ini dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) ditingkatkan sejak dia dicalon mewakili partinya untuk pilihan raya presiden yang dijadual Julai depan. 
Ia menjadikan Joko Widowo atau lebih dikenali sebagai Jokowi gabenor yang paling ketat dikawal di Indonesia. 
Walaupun Jokowi enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, satu sumber dalaman parti memberitahu langkah berkenaan diambil bagi mengelakkan sebarang kemungkinan beliau menjadi sasaran serangan musuh politiknya. 
Jokowi menjadi calon yang paling berpotensi untuk memenangi pilihan raya presiden berdasarkan beberapa tinjauan dan kaji selidik yang dijalankan. 
Bagi mengelakkan sebarang serangan ke atas calon presiden itu, pihak pentadbiran Jakarta tidak lagi mengeluarkan jadual hariannya dalam laman web rasmi bandar raya itu. 
Sebelum ini, ketika membuat lawatan mengejut yang sering dilakukannya, Jokowi akan diiring sebuah kereta yang membawa pengawal keselamatan. 
Kini, setiap kali lawatan, sekurang-kurangnya dua kereta dengan minimum lima orang pengawal peribadi akan mengiring keretanya. 
Polis bersenjata yang ditugaskan melindungi Jokowi dilihat di beberapa acara yang dihadirinya termasuk ketika berkempen. 
“Pihak polis yang memutuskan untuk meningkatkan kawalan keselamatan ke atas saya. Jika anda ingin tahu sebabnya, tanya mereka,” katanya. 
Pegawai pentadbiran Jabatan Protokol dan Hal Ehwal Gabenor Jakarta yang tidak mahu dikenali berkata tidak ada langkah keselamatan standard untuk pemimpin di peringkat negeri. 
“Ia hanya bergantung kepada keperluan dan permintaan individu terbabit,” katanya. 
Sementara itu, Jurucakap Polis Kebangsaan, Inspektor Jeneral, Ronny Sompie menafikan spekulasi yang mengatakan pihaknya menemui petanda yang menunjukkan potensi serangan ke atas Jokowi. 
“Pada masa kini, kami tidak menerima sebarang laporan mengenainya dari Polis Jakarta. 
“Bagaimanapun, kami akan bertindak segera jika menerima laporan sebegitu. Bukan hanya untuk Jokowi tetapi untuk mana-mana pemimpin di peringkat negeri,” katanya.- AFP/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.