|
Petugas Hospital melakukan protes selepas tiga doktor ditikam seorang pesakit. Foto: AFP |
|
Pesakit terbaring di koridor hospital di Beijing kerana hospital sesak. Foto: AP |
|
Pesakit beratur panjang di hadapan kaunter di sebuah hospital di Beijing. Foto: Reuters |
SHANGHAI - Tiga doktor cedera selepas ditikam oleh seorang pesakit, pagi semalam.
Kejadian itu adalah serangan terbaru ke atas pegawai perubatan di China.
Penyerang berusia 50 tahun itu ditahan polis kira-kira lima minit selepas dia menyerang tiga doktor di tingkat lima Hospital Rakyat Shanghai jam 10.40 pagi(waktu tempatan).
Pesakit yang tidak didedahkan identitinya itu sebelum ini dilapor dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan barah.
Kejadian berlaku ketika ketegangan semakin memuncak membabitkan kakitangan perubatan dengan pesakit berikutan kes gangguan dan keganasan yang berlaku di hospital di negara itu.
Awal bulan ini, media melaporkan seorang wanita berusia 53 tahun memukul jururawat berusia 20 tahun di hospital Nanjing berikutan rawatan yang “tidak mencukupi” buat anaknya.
Hari berikutnya, seorang doktor di wilayah Guangdong diarak di perkarangan hospital oleh aktivis yang marah kerana pesakit yang dirawat doktor berkenaan mati pada hari sebelumnya.
Hospital Huashan di Shanghai mengambil inisiatif menjemput jurulatih melatih kakitangan mempertahankan diri dari ancaman pesakit atau ahli keluarganya selepas dua kejadian serangan yang berasingan dilapor berlaku di Shanghai bulan lalu. - Agensi/myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.