Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 12 Mac 2014

Misteri Kehilangan Pesawat Penerbangan MH370

Grafik myMetro

Grafik myMetro




HO CHI MINH CITY - Hari ini genap empat hari sejak penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) hilang secara misteri daripada radar. 
Bagi pemberita, sejak penerbangan MH370 dalam perjalanan ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang Sabtu lepas, amat sukar untuk mereka mendapatkan berita mengenainya. 
Setiap kali pemberita cuba mengesahkan maklumat 'panas' atau petunjuk berkaitan pesawat MH370 yang hilang itu - nyata ia adalah tidak benar. 
Setakat ini semua petunjuk dan penemuan objek seperti dilaporkan, ternyata palsu tatkala 10 negara turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu. 
Pendek kata, tiada sebarang kejayaan dicatatkan dalam usaha mengenal pasti lokasi pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu, menyebabkan wartawan Malaysia yang berada di sini berasa sungguh kecewa. 
Keadaan pada petang ini juga tiada bezanya. Awalnya terdapat laporan usaha SAR diperluaskan untuk meliputi kawasan daratan di kawasan sempadan Vietnam dan Kemboja. Bagaimanapun, laporan itu segera dinafikan pihak berkuasa Vietnam. 
"Pejabat Jawatankuasa Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Vietnam menyatakan kawasan pencarian masih bertumpu di kawasan pesawat itu dilaporkan hilang. 
"Tiada pengesahan pencarian diperluaskan ke kawasan daratan atau hutan," kata jurucakap Pejabat Konsulat Malaysia di sini semasa diminta mengulas laporan itu. 
Bagi operasi di laut, pegawai Vietnam menyatakan usaha diperluaskan ke kawasan berhampiran kepulauan Con Dao, kira-kira 185km barat Provinsi Ba Ria Vung Tau. 
Ketika ini terdapat sekurang-kurangnya 20 wakil media Malaysia berada di sini. Terdapat juga wakil media dari Hong Kong dan China serta dari organisasi media antarabangsa. 
Wakil media Malaysia mula tiba di sini, beberapa jam selepas penerbangan MH370 dilaporkan hilang kira-kira 2.40 pagi Sabtu lepas dekat kawasan Pulau Phu Quoc. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.