Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 29 Mac 2014

Dibebaskan Dari Penjara Kerana Tubuh Besar

Jude Medcalf, 23, setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan kerana katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya

Medcalf disahkan menghidap sindrom Klinefelter yang menyebabkan dia terus membesar

Saiz sel penjara ini dan katilnya terlalu kecil buat Medcalf


DEVON (England) - Seorang penjenayah setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan selepas hakim menyatakan katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya. 
Jude Medcalf, 23, dari Newton Abbot melakukan jenayah selepas dia disahkan menghidap sindrom Klinefelter. 
Penyakit itu mengganggu sistem tumbesarannya, menyebabkan dia terus membesar. 
Dalam satu kejadian terbaru, dia menakutkan seorang wanita dengan melepaskan tembakan menggunakan pistol tiruan melalui sebuah tingkap sebelum melarikan hadiah Krismas bernilai £30 (RM163) dan sejumlah wang daripada pejabat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England (NHS), lapor mahkamah Exeter Crown. 
Mahkamah diberitahu yang Medcalf kemudiannya ditemui dengan makanan yang dicuri dari kelab The Sloop ketika kakitangannya leka. 
Dia dibebaskan dari penjara selepas mahkamah mendapati dia sudah 75 hari ditahan. 
Ketika dalam tahanan, dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana tiada katil atau pakaian penjara yang muat dengannya. 
Medcalf yang turut menghidap masalah kecelaruan kromosom hingga menyebabkan dia bersikap keanak-anakan dikenakan hukuman enam bulan tahanan rumah dan 12 bulan khidmat komuniti. 
Pendakwa raya, Brian Fitzherbert memberitahu mahkamah Medcalf menembak teman wanitanya selepas mendapati wanita itu menghubungi polis kerana dia menyerang kereta rakannya di Torquay. 
Tembakan itu bagaimanapun terkena cermin tingkap. 
“Wanita itu ketakutan. Dia tidak mengetahui pistol yang digunakan tiruan,” kata Brian. 
Medcalf mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan melakukan jenayah dengan senjata itu ketika dia mula dibicarakan. - AFP/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.