Cucuh kemaluan anak dengan bara rokok
|
Kanak-kanak didera oleh bapa kandung. Foto: myMetro |
AMPANG - Dua kanak-kanak cedera teruk di beberapa anggota badan termasuk seorang daripadanya dicucuh bara rokok pada kemaluan akibat deraan bapa kandung dalam dua kejadian berasingan yang dikesan polis di Tasik Permai dan Tasik Tambahan, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian di Tasik Permai, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun didera bapanya dipercayai sejak lebih setahun lalu dan ibunya turut merahsiakan perkara itu kerana bimbang dicederakan jika membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Sumber polis berkata, kejadian itu hanya terbongkar selepas seorang jiran yang simpati nekad membawa mangsa ke Hospital Ampang (HA) jam 5 petang kelmarin.
Menurutnya, wanita berusia 40-an itu memberanikan diri membawa mangsa ke HA biarpun pada mulanya usaha itu dihalang ibu kanak-kanak terbabit kerana bimbang menimbulkan kemarahan suaminya.
Bayi 4 bulan alami pendarahan otak dipercayai digoncang
|
Bayi digoncang kuat masuk Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. Foto: Panoramio |
IPOH - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan dipercayai didera dengan digoncang kuat menyebabkan pendarahan serius pada bahagian otak.
Bayi malang terbabit kini dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) selepas disyaki menjadi mangsa dera oleh keluarga atau pengasuhnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa sebelum ini dihantar ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan di klinik di Simpang Pulai di sini, selepas didakwa cedera di kepala.
Beliau berkata, kecederaan serius dialami bayi itu menyebabkan mangsa dirujuk ke HRPB jam 6 petang kelmarin.
Menurutnya, bayi itu kemudian menjalani imbasan sinar X-ray jam 9 pagi semalam sebelum doktor mengesan ada kesan pendarahan dalaman pada kepala mangsa.
“Susulan itu satu laporan polis dibuat doktor di pondok polis HRPB. Namun, polis belum mengenal pasti punca kecederaan mangsa setakat ini berikutan tiada kecederaan luaran pada kepala mangsa.
“Polis akan mendapatkan keterangan dari ibu bapa atau pengasuh mangsa dalam tempoh terdekat. Difahamkan, ibu mangsa berusia 30-an dan suami berusia 40-an akan dipanggil untuk soal siasat,” katanya, semalam.
Malah, seorang pengasuh wanita bayi itu yang berusia 30-an serta suaminya turut dipanggil polis untuk memberi keterangan.
Koma dibelasah ibu
|
Mangsa kini bertarung nyawa di hospital. Foto: myMetro |
TELUK INTAN - Seorang ibu muda berusia 20 tahun dipercayai tergamak bersekongkol dengan teman lelakinya untuk membelasah anak kandungnya hingga koma dan kini, kanak-kanak itu bertarung nyawa akibat parah pada seluruh badan termasuk kepala serta mukanya.
Kanak-kanak perempuan malang berusia dua tahun enam bulan itu dimasukkan ke Hospital Sabak Bernam, dekat sini, pada Isnin lalu, namun akibat cedera yang serius terpaksa dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Mangsa dihantar ke wad kecemasan oleh ibunya yang berasal dari Kampung Sungai Pulau, Hutan Melintang, dekat sini, bersama teman lelakinya yang berusia 26 tahun dan berasal dari Kampung Perkasa, Hutan Melintang, selepas mangsa menjadi kaku dengan mata terbeliak serta mengalami sesak nafas.
Difahamkan, kanak-kanak malang itu didera di rumah teman lelaki ibu mangsa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, sebaik dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sabak Bernam, seorang doktor yang memeriksa kanak-kanak itu membuat satu laporan polis selepas mengesyaki dia didera sebelum mengarahkannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh apabila keadaan mangsa semakin tenat. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.