Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 5 Mac 2014

Warga Asing Semakin Berani

Dua koperal diserang hendap

Mayat seorang lelaki Indonesia yang mati ditembak selepas menyerang dua anggota polis. Foto: myMetro

Jenazah Koperal Raja Aizam dibawa menaiki van untuk dikebumikan di Kuala Kangsar. Foto: myMetro

Anak Koperal Raja Aizam mengiringi jenazah ayahnya. Foto: myMetro

KLANG - Dedikasi dua anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa dekat sini semalam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah akibat diserang hendap sekumpulan warga Indonesia yang cuba ditangkap kerana tiada dokumen pengenalan diri. 
Anggota polis yang terbunuh ialah Koperal Raja Aizam Raja Mohd. 53, manakala rakannya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cedera parah. Kedua-dua anggota polis itu ditetak, ditikam dan dilibas dengan pisau rambo dan parang oleh dua daripada sekumpulan enam warga asing yang bertindak agresif ketika cuba diberkas. 
Dalam pergelutan itu, dua lelaki Indonesia yang menyerang anggota polis itu mati ditembak oleh anggota polis yang cedera parah. 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kejadian pada pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika dua anggota polis yang menaiki kereta peronda memasuki kawasan perumahan di Taman Sentosa dan terserempak dengan sekumpulan enam warga asing termasuk tiga wanita di Lorong Yusuf Shahbudin 44D. 
Dua anggota polis terbabit bertugas di Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. 
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kesemua warga asing tersebut tiada dokumen dan menyebabkan Raja Aizam dan Mohd. Aidil cuba menahan mereka. 
Bagaimanapun, Khalid memberitahu, ketika Raja Aizam dan Mohd. Aidil mahu menahan sekumpulan warga Indonesia itu, dua lelaki yang masing-masing bersenjatakan pisau rambo dan parang menyerang dari belakang Raja Aizam dan Mohd. Aidil. 
"Serangan itu mengenai belakang kepala, tangan dan muka kedua-dua anggota polis terbabit sebelum Raja Aizam kemudian turut dilibas di perut menyebabkan dia rebah," kata beliau. 
Khalid berkata demikian selepas menziarah Mohd. Aidil dan jenazah Raja Aizam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam. 
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat. 
Selepas itu, beliau berkata, seorang suspek itu merampas pistol milik Raja Aizam yang sudah rebah dan tersungkur di dalam longkang.
"Suspek itu mengacukan pistol itu ke arah Mohd. Aidil namun Mohd. Aidil bernasib baik kerana suspek tidak tahu menggunakan senjata api itu," kata beliau. 
Kesempatan itu diambil Mohd. Aidil untuk merampas semula pistol itu sebelum melepaskan tembakan yang menyebabkan kedua-dua lelaki yang menyerangnya maut di tempat kejadian. 
Salah seorang suspek yang mati mempunyai tatu di bahagian dada. 
" Mohd. Aidil kemudian turut mengacukan pistol ke arah empat lagi warga asing lain sebelum sebuah kereta peronda polis datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan," kata beliau. 
Raja Aizam disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HTAR manakala Mohd. Aidil masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 
Difahamkan, kawasan perumahan di lokasi kejadian menjadi penempatan ramai warga asing. - Kosmo!


4 suspek diberkas

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan. Foto: Sinar Harian

GOMBAK - Tiga wanita dan seorang lelaki kesemuanya dipercayai warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan hendap yang mengakibatkan seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera parah. 
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua mereka ditahan di kawasan berhampiran di Taman Sentosa, Klang sejurus selepas kejadian itu.
"Polis tahan tiga wanita dan seorang lelaki warga asing dan kami masih cuba mengenal pasti kerakyatan sebenar mereka yang ditahan itu," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini semalam. 
Menurut beliau, polis kini sedang mengesan suspek-suspek lain yang dipercayai turut berada atau terlibat dalam kejadian itu. 
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi semalam, seorang anggota polis peronda, Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, maut manakala rakannya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cedera parah selepas diserang hendap sekumpulan warga asing ketika hendak menahan mereka di kawasan perumahan di Taman Sentosa. 
Mohd. Shukri memberitahu, sebelum kejadian kedua-dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan terserempak dengan sekumpulan warga asing, termasuk tiga wanita berada dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota polis itu cuba memeriksa mereka.
"Selepas memeriksa dan cuba menahan tiga wanita daripada kumpulan warga asing itu, beberapa orang lelaki telah menyerang dua anggota polis itu dari belakang menggunakan parang dan pisau rambo.
"Raja Aizam ditikam di belakang kepala manakala muka Mohd. Aidil luka teruk akibat ditetak," kata beliau.
Bagaimanapun, kata beliau, dalam pergelutan itu, Mohd. Aidil sempat menembak mati dua lelaki yang menyerangnya. 
Polis menemui sebilah parang dan pisau rambo di lokasi kejadian. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.