Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 10 Disember 2013

Anak Cikgu Pun Kena Buli

Berita pelajar senior membuli pelajar baru pernah tersiar dalam media negara ini. Imej Google

Seorang guru menceritakan tentang anaknya dibuli oleh pelajar senior di sekolahnya. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - “Saya kecewa kerana pihak sekolah tidak melayan permintaan untuk berjumpa dengan pelajar yang memukul anak saya sebulan lalu, tetapi bila jadi kes polis, barulah mereka hendak aturkan pertemuan,” kata guru sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 45. 
Menurutnya, akibat kejadian itu, anak sulungnya yang berusia 14 tahun kini trauma apabila sering bermimpi dipukul empat pelajar tingkatan lima sekolahnya itu sejak insiden dia dibelasah sehingga patah gigi dan terpaksa menerima tiga jahitan di gusi. 
Mengimbas kembali kejadian 12 November lalu, Fatimah yang juga guru di sebuah sekolah di Selangor berkata, dia menerima panggilan dari pihak sekolah jam 12.50 tengah malam mengatakan anaknya yang belajar di sebuah sekolah menengah cedera selepas terbabit dalam pergaduhan di asrama sekolah berkenaan. 
“Apabila dibawa ke hospital untuk rawatan, doktor mengarahkan anak membuat laporan di pondok polis hospital kerana membabitkan kes pergaduhan. 
“Keesokan harinya dan selang beberapa hari kemudian, saya ada menghubungi pihak sekolah meminta mereka mengaturkan pertemuan dengan empat pelajar yang memukul anak saya bersama keluarganya, tetapi tidak dihiraukan,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di sini, semalam. 
Dakwanya lagi, pelbagai alasan diberi dan kali terakhir pihak sekolah menghubungi suaminya pada Sabtu lalu untuk mengaturkan pertemuan hari ini selepas keempat-empat pelajar terbabit ditahan polis selepas dia dan suami membawa dua saksi untuk diambil keterangan kejadian anaknya dipukul. 
“Sebagai pendidik, saya memahami beban dihadapi guru, malah kesal dengan apa yang berlaku. 
Jika kes ini diselesaikan secara baik bulan lalu, ia mungkin tidak sampai ke tahap ini. 
“Namun selepas permintaan itu tidak diendahkan, saya terpaksa mengambil tindakan ini kerana khuatir kejadian buli akan berulang kepada pelajar junior yang lain dan bagaimana pula jika ia mengakibatkan kematian?” katanya. 
Sementara itu, anaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Faizul mendakwa, dia ditumbuk dan disepak di kepala serta muka oleh empat pelajar senior sekolah berkenaan selepas berlaku perselisihan faham. 
“Malam kejadian saya ada menerangkan kepada salah seorang pelajar senior supaya menghentikan buli berkumpulan atau lawan seorang dengan seorang jika mahu menguji kekuatan, tetapi tidak sangka niat saya disalah tafsir menyebabkan saya dipukul,” katanya. 
Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen mengenai kejadian itu berikutan kes berkenaan dibawa ke pengetahuan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) untuk tindakan lanjut. 
Menurutnya, pihak sekolah juga memandang serius insiden itu dan berharap ia dijadikan pengajaran supaya tidak berulang pada masa depan. 
“Saya juga difahamkan pelajar terbabit direman dan biarlah polis menyiasat kes ini. 
“Sekarang, kita selesaikan masalah ini dengan ibu bapa pelajar yang dipukul,” katanya. 
Difahamkan, keempat-empat pelajar terbabit direman selama empat hari bermula Sabtu lalu di rumah masing-masing selepas ibu bapa Faizul membawa dua saksi kejadian itu. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.