|
Sekurang-kurangnya 10 anggota polis dan 400 perusuh cedera dalam kejadian rusuhan di kawasan Little India malam tadi |
|
Rusuhan jam 9.30 malam itu, berlaku selepas seorang pekerja warga Bangladesh terbunuh akibat dilanggar bas |
|
Lima kenderaan polis dan sebuah ambulans dibakar oleh kira-kira 400 perusuh terdiri daripada warga asing |
|
Beberapa kereta polis turut diterbalikkan |
|
Jurucakap polis berkata, lokasi tumpuan rusuhan itu sudah dikepung dan orang awam diarah menjauhi kawasan itu |
|
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di kawasan kejadian |
|
Mereka yang terbabit dengan rusuhan di Singapura boleh dihukum penjara 7 tahun jika sabit kesalahan |
|
Polis mengepung tempat kejadian di Jalan Race Course dan Hampshire di Little India dalam usaha mengawal keadaan |
|
Jurucakap polis berkata, situasi kini sudah terkawal |
|
Polis menahan suspek yang disyaki terlibat dengan rusuhan |
|
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean (depan kanan) meninjau tempat kejadian |
SINGAPURA - Sekurang-kurangnya 10 anggota polis dan penjawat awam cedera selepas lima kenderaan pasukan itu dan sebuah ambulans dibakar kira-kira 400 perusuh terdiri daripada warga asing dalam kejadian di kawasan Little India republik itu, malam tadi.
Rusuhan jam 9.30 malam itu, berlaku selepas kemalangan jalan raya, membabitkan seorang pekerja warga Bangladesh yang terbunuh selepas dilanggar bas dalam kejadian di persimpangan Jalan Race Course dan Jalan Hampshire.
Susulan kejadian itu, sekumpulan pekerja asing bertindak balas dengan merusuh dan merosakkan harta awam termasuk membakar ambulans dan kereta polis yang dikejarkan ke lokasi.
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di kawasan kejadian berikutan tindakan perusuh membakar kenderaan terbabit. Beberapa kereta polis turut diterbalikkan.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean, berkata rusuhan itu menyebabkan kerosakan harta benda awam yang serius.
“Namun, situasi kini sudah terkawal. Polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang terbabit dengan rusuhan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, lokasi tumpuan rusuhan itu sudah dikepung dan orang awam diarah menjauhi kawasan itu.
Polis bertindak mengepung tempat kejadian di Jalan Race Course dan Hampshire di Little India itu dalam usaha mengawal keadaan.
Premis perniagaan sepanjang Jalan Buffalo diarah tutup dengan pasukan bomba dikerah memadam semua kebakaran yang dicetuskan perusuh. - Agensi/Berita Harian
|
Rusuhan di Little India pada Ahad malam merupakan yang pertama selepas 40 tahun. Foto: Pembaca ST Norizal Bohan |
|
Beberapa pegawai polis cedera dan kenderaan rosak atau musnah. Foto: Pembaca ST Chloe Chua |
|
Perusuh merosakkan kereta peronda polis. Foto: ST |
|
Perusuh juga turut merosakkan ambulan. Foto: ST |
|
PM Singapura berkata kerajaan akan menjejaki pelakunya. Foto: Pembaca ST Chloe Chua |
SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyifatkan rusuhan di Little India pada Ahad malam sebagai 'kejadian yang amat serius' dan berkata kerajaan akan menjejaki pelakunya serta mengambil tindakan tegas undang-undang terhadap mereka.
"Apa jua kejadian yang mungkin mencetuskan rusuhan itu, tiada sebab untuk mereka melakukan keganasan, kemusnahan dan perlakuan jenayah sedemikian rupa," katanya mengenai rusuhan itu dalam laman Facebooknya awal Isnin.
Beliau berkata beberapa pegawai polis cedera dan kenderaan rosak atau musnah.
"Keadaan kini terkawal dan siasatan sedang dijalankan," katanya sambil menggesa rakyat Singapura supaya bertenang.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat, gambar atau video tentang kejadian itu supaya menyerahkannya kepada polis.
Beliau turut mendoakan agar para pegawai polis yang cedera itu segera pulih.
Sepuluh pegawai polis cedera dan lima kenderaan polis, sebuah ambulans dan beberapa kenderaan persendirian rosak dalam kejadian rusuhan pada Ahad malam itu yang tercetus selepas berlakunya kemalangan maut di kawasan berkenaan.
Dua puluh tujuh orang, kesemuanya dari Asia Selatan diberkas berikutan kejadian itu. Tiada rakyat Singapura terlibat.
Menurut polis, pada pukul 9.23 malam, satu kemalangan maut berlaku melibatkan sebuah bas dan seorang warga India berusia 33 tahun di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire.
Sejurus selepas itu rusuhan berlaku melibatkan sekumpulan orang awam kira-kira 400 orang yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera.
Polis menggerakkan anggota Pasukan Khas Operasi dan Kontinjen Gurkha ke tempat kejadian dan berjaya mengawal keadaan. Orang ramai di kawasan itu dinasihatkan agar tidak keluar rumah.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean dalam satu kenyataan berkata: "Ini satu kejadian serius yang menyebabkan kecederaan dan kerosakan terhadap harta awam.
"Keadaan kini terkawal. Polis akan bertindak tegas untuk memberkas mereka yang terlibat dalam rusuhan itu," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata: "SCDF dimaklumkan pada pukul 9.25 malam mengenai satu kemalangan jalan raya di persimpangan Jalan Race Course dan Tekka Lane.
Sebaik tiba, seorang lelaki didapati terperangkap di bawah sebuah bas.
Seorang paramedik SCDF mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia. Para penyelamat SCDF mengeluarkan mayat dengan menggunakan peralatan hidraulik.
Projektil diberikan kepada pasukan penyelamat SCDF ketika mereka mengeluarkan mayat itu. Sebanyak sembilan kenderaan SCDF turut rosak dalam kejadian berkenaan.
Awal hari ini SCDF menghantar 18 orang termasuk empat anggota SCDF ke Hospital Tan Tock Seng.
Kejadian itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah Singapura sejak rusuhan kaum pada 1969 selama tujuh hari dan menyebabkan empat mati serta 80 orang cedera.
Little India merupakan tempat tumpuan popular rakyat asing dari benua kecil India, bersantai pada hujung minggu. - BERNAMA
|
Pekerja asing yang terlibat dalam rusuhan di Singapura hujung minggu lalu. Foto: myMetro |
|
Perusuh merosakkan kereta polis. Foto: myMetro |
SINGAPURA - Seramai 27 pekerja dari Asia Selatan ditangkap kerana merusuh selepas republik ini digemparkan dengan insiden keganasan terburuk sepanjang 40 tahun.
Kekacauan itu yang berpunca daripada satu kemalangan maut, turut menyebabkan 18 orang cedera manakala beberapa kenderaan polis dibakar.
Dalam satu kenyataan, pihak polis memberitahu, huru-hara itu bermula di daerah Little India apabila seorang lelaki India berusia 33 tahun maut dilanggar sebuah bas persendirian.
Polis berkata, kira-kira 400 orang di lokasi kejadian mula merusuh dengan menyerang bas berkenaan dan beberapa kenderaan polis yang tiba untuk mententeramkan keadaan.
Menurut pihak berkuasa, antara yang cedera termasuk 10 anggota polis, empat petugas pertahanan awam selain pemandu dan konduktor bas tetapi keadaan mereka dilaporkan tidak serius.
"Semua 27 pekerja dari negara Asia Selatan itu yang ditangkap boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan disebat jika didapati bersalah," kata polis.
Mengulas kekacauan tersebut, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata: "Kami akan berusaha sepenuhnya untuk mengenal pasti pesalah-pesalah itu dan mengheret mereka ke muka pengadilan."
Sebanyak lima buah kenderaan termasuk tiga kereta polis dan sebuah ambulans pertahanan awam terbakar manakala gambar dan klip video yang dimuat naik di laman sosial pula menunjukkan dua buah kereta polis diterbalikkan oleh kumpulan perusuh.
Beberapa kenderaan persendirian turut rosak dalam rusuhan itu.
Situasi kembali terkawal selepas pasukan elit Unit Tindakan Khas dan pasukan Gurkha yang bekerja untuk pihak polis tiba di lokasi kejadian.
Kekacauan yang jarang berlaku itu tercetus di lokasi yang menjadi tumpuan beribu-ribu pekerja asing pada cuti hujung minggu dengan kebanyakan mereka berasal dari benua kecil India.
"Saya mahu menyatakan bahawa insiden malam skelmarin tidak boleh diterima. Merusuh, memusnahkan harta benda bukan amalan di sini," kata Ketua Polis Singapura, Ng Joo Hee pada satu sidang akhbar awal pagi semalam.
Sementara itu, badan penyiaran tempatan Media- Corp melaporkan, insiden tersebut adalah rusuhan pertama di pulau ini sejak kekacauan kaum pada 1969.
Pulau ini banyak bergantung kepada pekerja asing dengan buruh dari Asia Selatan mendominasi beberapa sektor industri seperti pembinaan.
Ramai antara mereka mengunjungi daerah Little India pada hujung minggu lalu untuk membeli-belah dan menjamu selera.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan di internet terhadap pekerja asing di pulau ini tetapi pihak berkuasa meminta orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.
Menurut undang-undang di sini, sesiapa yang didapati membawa objek yang boleh mengancam nyawa sebagai senjata dalam rusuhan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan disebat. - AFP/Kosmo! Online
|
Selepas rusuhan. Foto: Wee Hing Thong |
|
Sebelum rusuhan. Foto: Blog Little India 2012 |
SINGAPURA - Lebih 10 peniaga di kawasan berhampiran persimpangan Jalan Race Course dan Jalan Hampshire, Little India di sini, mendakwa kerugian lebih RM20,000 apabila rusuhan membabitkan kira-kira 400 pekerja asing berlaku selama lebih dua jam yang bermula daripada satu kemalangan maut, malam kelmarin.
Berikutan kejadian itu, kebanyakan peniaga terpaksa menutup kedai selepas mendapati ratusan pekerja asing mula membuat kecoh termasuk merosakkan bas, membaling objek keras dan membakar serta merosakkan lima kenderaan polis, satu ambulans serta beberapa kenderaan awam di tempat kejadian.
Seorang peniaga K Vellu, 51, berkata, insiden itu adalah yang terburuk pernah berlaku di Little India sejak dia berniaga lebih 10 tahun lalu.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam dan ketika itu, saya masih berada dalam kedai bersama pekerja dan beberapa pelanggan.
“Kebetulan, premis saya terletak bertentangan kawasan rusuhan dan memikirkan keselamatan pekerja, saya nekad menghentikan operasi lebih awal,” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak mengalami kecederaan, dia kecewa kerana rusuhan itu mengakibatkan dia mengalami kerugian besar.
Tambahnya, kejadian semalam (kelmarin) menyebabkan orang ramai termasuk pelanggan panik dan lari bertempiaran menyelamatkan diri.
“SKesannya, saya gagal memperoleh keuntungan, sebaliknya menanggung kerugian besar. Sebagai peniaga, ia memberi kesan kepada saya kerana sewa bulanan di premis ini mencecah SGD 10,000 (RM25,000) sebulan,” katanya.
Katanya, selain rugi, dia kini bimbang untuk meneruskan perniagaan di kawasan itu kerana khuatir kejadian sama berulang.
Lebih malang, menurutnya, jika pelanggan serik ke kedainya kerana beranggapan kawasan itu tidak lagi selamat untuk mereka.
“Sebelum ini, kawasan ini antara lokasi tumpuan pengunjung termasuk pelancong asing untuk membeli-belah.
“Namun, ia kini akan lebih dikenali sebagai kawasan ganas dan saya bimbang perkara sama berulang menyebabkan pelanggan enggan datang”, katanya. - myMetro
|
Polis menangkap seorang suspek rusuhan. Foto: Wee Hing Thong |
KUALA LUMPUR - Lima warga Malaysia yang bertugas sebagai Polis Bantuan Singapura antara 27 yang cedera dalam rusuhan di Little India di sepanjang Jalan Race Course dan Jalan Hampshire, Singapura, Ahad lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang dihubungi BH malam tadi, mengesahkan kelima-lima lelaki Malaysia itu mengalami kecederaan, namun tidak serius dan hanya menerima rawatan pesakit luar.
Memang benar mereka rakyat Malaysia yang diambil bekerja sebagai pegawai keselamatan di Singapura, katanya.
Selain lima warga Malaysia, 22 pegawai polis negara berkenaan turut dilaporkan cedera akibat diserang perusuh, namun mereka juga sudah dibenarkan keluar hospital.
Selain menyebabkan 27 anggota polis dan Polis Bantuan cedera, dianggarkan 400 perusuh terdiri daripada pekerja asing dari Asia Selatan, turut bertindak merosakkan sebuah bas, 16 kenderaan polis serta membakar sebuah ambulans. - Berita Harian
|
Suspek rusuhan yang berjaya ditangkap polis Singapura. Foto: The Star |
SINGAPURA - Seramai 24 warga India yang ditahan berhubung rusuhan di Little India dituduh atas dakwaan merusuh dan diarah reman selama seminggu untuk membantu siasatan.
Mereka berusia 22 hingga 40 tahun dibawa ke mahkamah dalam tiga van polis dan dibawa masuk mahkamah untuk mendengar dakwaan.
Sementara itu, pihak berkuasa juga mengharamkan jualan dan meminum arak hujung minggu ini di jalan Race Course, lokasi rusuhan.
Langkah itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke-2, S Iswaran yang berkata pelaksanaannya akan diumumkan oleh polis. Alkohol dianggap faktor penyumbang kepada kejadian itu.
Media tempatan melaporkan, pekerja India yang maut dilanggar bas, Sakthivel Kumaravelu mabuk ketika kejadian. AGENSI/Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.