Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 9 Disember 2013

Pelatih Komando Yang Hilang Ditemui Selamat

Satu gerakan mencari dan menyelamat 13 pelatih komando yang dikhuatiri hilang di Selat Melaka telah dijalankan. Foto: NST

Gerakan mencari dan menyelamat dijalankan sebaik sahaja mereka dilaporkan hilang

Pasukan Penyelamat Di Air dihantar ke lokasi untuk mencari dan menyelamatkan mangsa. Foto: NST

Kumpulan pelatih terbabit dipercayai dilanda ribut serta ombak besar kira-kira jam 9 malam. Foto: NST

Bagaimanapun bot yang dinaiki pelatih komando ditemui kira-kira 1.19 pagi tadi. Foto: NST

Bot mereka ditemui orang awam dalam keadaan selamat di Pantai Kundur, Pantai Puteri, kira-kira 1.19 pagi tadi. Foto: NST


MELAKA - Semua 13 anggota pelatih komando yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki dipukul ribut, di perairan Melaka, kelmarin, ditemui selamat kira-kira 1.19 pagi tadi. 
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mereka ditemui orang awam dalam keadaan selamat di Pantai Kundur, Pantai Puteri, kira-kira 1.19 pagi tadi. 
Malam tadi, 13 anggota tentera dilaporkan dikhuatiri lemas berikutan bot dinaiki hilang ketika mereka menjalani latihan asas komando mendayung ke Pulau Nangka, kelmarin. 
Difahamkan, ketika kejadian bot dinaiki mereka bersama empat bot lain dalam perjalanan dari pesisir pantai Sungai Udang ke pulau berkenaan. 
Dipercayai kira-kira jam 9 malam, kumpulan terbabit dilanda ribut serta ombak besar dan hanya tiga bot dinaiki seorang pegawai dan 35 anggota berjaya menyelamatkan diri dengan mendarat di Pulau Upeh, di sini, kira-kira jam 12.30 malam. 
Kehilangan kesemua pelatih komando itu kemudiannya disahkan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. 
Beliau yang dihubungi dipetik berkata 13 anggota pelatih komando berkenaan sedang menjalani latihan mendayung. 
Menurutnya, gerakan mencari anggota terbabit dijalankan dan punca kejadian masih dalam siasatan. 
Terdahulu, jurucakap di Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan 13 anggota tentera di perairan Selat Melaka dan Pasukan Penyelamat Di Air dihantar ke lokasi untuk mencari dan menyelamatkan mangsa. - myMetro


Berita sebelumnya

MELAKA – Sebuah bot yang membawa dua pegawai dan 11 pelatih komando yang sedang menjalani latihan mendayung dilaporkan terbalik menyebabkan kesemua mereka hilang dipercayai lemas di perairan Pulau Upeh, perairan Selat Melaka di sini kelmarin. 
Kejadian pada pukul 9 malam itu dipercayai berlaku akibat ribut dan ombak kuat. 
Semasa kejadian, bot yang dinaiki dua jurulatih bersama 11 pelatih kursus asas komando dari Pusat Latihan Peperangan Khas (Pulpak), Kem Sungai Udang di sini itu dalam perjalanan menghala ke Pulau Nangka, 95 kilometer dari Sungai Udang. 
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, dua buah bot bersama bot keselamatan tiba di Pulau Upeh, 7.5 kilometer dari Sungai Udang pada pukul 10.30 malam kelmarin namun sebuah lagi bot yang membawa pelatih dan dua pegawai tidak tiba. 
Difahamkan, sewaktu ketiga-tiga bot mendekati perairan Pulau Upeh, keadaan cuaca tiba-tiba bertukar buruk dan menyukarkan perjalanan mereka. 
“Dalam kejadian itu, dua bot selamat mendarat manakala sebuah lagi bot tidak sampai dan gagal dikesan sehingga kini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi. - Kosmo! Online


Anggota komando menerima kunjungan Yang Dipertua Negeri Melaka semalam. Foto: Berita Harian

MELAKA – Bagaikan mati hidup semula. Itulah yang dirasakan oleh 13 anggota tentera yang hilang selepas bot mereka terbalik dipukul ribut di perairan Pulau Upeh, perairan Selat Melaka di sini Sabtu lalu. 
Walaupun berdepan ombak besar, ia tidak mematahkan semangat dua pegawai dan 11 pelatih kursus asas komando dari Pusat Latihan Peperangan Khas, Kem Sungai Udang di sini untuk bekerjasama menyelamatkan diri selepas dilaporkan hilang selama 28 jam hilang di laut. 
Salah seorang pelatih yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian angin kuat dan laut bergelora menyebabkan bot mereka terbalik. - Kosmo! Online

Seorang pelatih komando yang dilawati Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Foto: myMetro


MELAKA - “Kami mendayung menggunakan pelbagai peralatan termasuk bekas makanan dan dayung buatan sendiri serta memerah segala kudrat yang ada untuk sampai ke pesisir pantai, ditambah pula jurulatih sentiasa memberikan semangat supaya tidak berputus asa. 
“Dengan kuasa Allah, petang semalam (kelmarin) selepas tiga kali dibaiki, akhirnya enjin bot berfungsi semula sebelum kami bergerak menuju ke pantai berpandukan pergerakan kapal dagang,” kata pelatih komando berusia 20-an dari Kem Sungai Udang di sini, semalam. 
Dia antara 13 anggota tentera berusia 19 hingga 23 tahun terdiri 11 pelatih komando serta dua jurulatih mereka yang dilaporkan hilang selepas bot jenis Assault yang mereka naiki dipukul ribut dan ombak ketika menyertai latihan mendayung dari pantai Kem Sungai Udang ke Pulau Nangka, malam Sabtu lalu. 
Kehilangan kumpulan itu disedari 32 anggota dan seorang pegawai yang turut sama menyertai latihan berkenaan menggunakan empat bot berlainan selepas mereka mendarat di Pulau Upeh, jam 12.30 tengah malam hari kejadian. 
Bagaimanapun, selepas 28 jam hanyut di perairan Selat Melaka, semua mangsa tiba di pesisir pantai berhampiran Jeti Tanjung Beruas, Pantai Puteri di sini, jam 12.50 pagi semalam. 
Nama semua mangsa tidak dibenarkan disiarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pelatih terbabit berkata, kejadian jam 10 malam itu mengakibatkan bot terbalik dan mereka berenang ke arah bot dalam keadaan laut bergelora sebelum berpaut pada badan bot berkenaan. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.