|
Pertelagahan mengenai keris sakti zaman Kesultanan Melaka menyebabkan seorang lelaki OKU cedera di bahu. Foto: myMetro |
|
Lokasi tempat suspek mengamuk. Foto: myMetro |
KUALA LUMPUR - Pertelagahan mengenai keris sakti dari zaman Kesultanan Melayu Melaka menyebabkan seorang lelaki cacat penglihatan cedera di bahu akibat ditetak dengan parang dalam kejadian di sebuah restoran di Bangsar, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa, Ahmad Yaacob, 59, luka di mulut akibat dibelasah suspek berusia 36 tahun dipercayai ada masalah mental.
Berikutan tindakan ganasnya menyerang polis ketika cuba ditahan, polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan suspek cedera di paha kiri.
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Razak, 50, yang mengenali kedua-dua suspek dan mangsa berkata, Rabu lalu Ahmad ada memberitahunya dia bertelagah dengan suspek menyebabkan lelaki itu tidak puas hati.
“Dia (suspek) memang selalu datang ke restoran ini dan bercerita kononnya dia ada keris sakti dari zaman Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian dia melihat suspek tiba dan meletakkan motosikal di luar restoran. Sambil menyanyi dia melangkah masuk dalam restoran dan menegur mangsa.
“Bagaimanapun, lima minit kemudian dia tiba-tiba menjerit dan membelasah Ahmad dengan gelas. Lebih mengejutkan, suspek mengeluarkan parang lalu melibas mengenai bahu kiri Ahmad,” katanya.
Razak berkata, mangsa dibawa ke klinik berhampiran dan kebetulan ada anggota polis dalam klinik itu.
Katanya, anggota polis itu segera menghubungi unit peronda (MPV) yang tiba beberapa minit kemudian.
Menurutnya, suspek terus mengamuk menyebabkan lebih 15 pelanggan dan pekerja yang berada dalam restoran bertempiaran lari.
“Dua anggota polis cuba menenangkan suspek, namun lelaki itu menyerang mereka dengan parang menyebabkan polis melepaskan tembakan dan mengenai paha kirinya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, suspek dan mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 307 Kanun Keseksaan. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.