Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 9 Disember 2013

Lagi Pengantin Remaja Diijabkabulkan

Muhamad Haikal, 15, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nur Hazwani Mohd Kamal, 16, pagi kelmarin. Foto: myMetro

Muhamad Haikal dikatakan antara suami termuda yang melangsungkan perkahwinannya di negara ini. Foto: myMetro


SHAH ALAM - “Saya akan buktikan, mampu menjadi suami terbaik buat isteri, sekali gus ayah dalam keluarga kami yang bahagia, walaupun baru berusia 15 tahun. 
“Restu keluarga dan sanak saudara menjadi kekuatan kepada saya, membuktikan bahawa usia bukan ukuran dalam menentukan kemampuan dan tanggungjawab menjadi suami,” kata Muhamad Haikal Farith Mohd Shah. 
Beliau selamat dinikahkan dengan pasangannya, Nur Hazwani Mohd Kamal, 16, yang masih belajar dalam Tingkatan Empat, oleh Imam Masjid Teluk Kemang, Port Dickson, Rahim Jaafar, kelmarin. 
Nur Hazwani menerima mas kahwin RM200 dan hantaran RM5,000. 
Muhamad Haikal berkata, bapanya, Mohd Shah Abdul Aziz, 43, memohon kebenaran mahkamah bagi membolehkan dia bernikah dengan pasangannya kerana usia mereka yang masih muda. 
Katanya, walaupun beliau muda setahun daripada isterinya, namun semangat dan tanggungjawab semakin membara dalam dirinya terutama selepas selamat dinikahkan bagi memastikan perkahwinan mereka bahagia. Beliau tidak melihat kegagalan perkahwinan pasangan remaja yang berakhir kurang setahun, sebagai perkara yang menakutkan. 
“Walaupun masih muda, saya berusaha menjadi suami terbaik dan memastikan rumah tangga didirikan kekal hingga ke akhir hayat. Memang ramai memandang sinis, tetapi kami akan berusaha membuktikan usia bukan jaminan kebahagiaan. 
“Setakat ini keluarga dan adik beradik banyak memberi semangat. Usia muda bukan penghalang untuk jadi suami terbaik dan saya akan buktikan,” tegasnya ketika ditemui membawa pasangannya menziarahi rumah saudara mereka di sini, semalam. 
Muhammad Haikal yang sudah tidak bersekolah sejak setahun lalu, membantu perniagaan bapanya yang juga seorang kontraktor binaan. 
Mohd Shah berkata, walaupun sudah berkahwin, namun anak dan menantu akan tinggal bersama keluarganya, sementara menantunya akan terus bersekolah. 
Bulan lalu, BH mendedahkan perkahwinan sepasang remaja berusia 19 dan 12 tahun, berakhir dengan perceraian seminggu sebelum ulang tahun pertama mereka. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.