Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 29 Januari 2014

Lantai Rumah Runtuh Ketika Jenazah Diangkat

Lantai beranda rumah ini runtuh ketika jenazah sedang diangkat melaluinya. Foto: myMetro


SANDAKAN - Empat orang cedera selepas lantai beranda sebuah rumah runtuh ketika sedang mengangkat jenazah di Kampung Karamunting dekat sini hari ini. 
Kesemua mangsa adalah lelaki berusia lingkungan 60-an dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan. 
Seorang penduduk kampung, Abdul Ghani Amat, 49, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika mereka sedang mengangkat jenazah abang sepupunya yang meninggal dunia semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Sim-Sim. 
Katanya ketika kejadian dia bersama beberapa lelaki lain yang mengangkat jenazah sudah melalui beranda rumah itu dan berada di tangga. 
"Tiba-tiba lantai beranda rumah runtuh dan mereka yang masih berdiri di atas lantai itu dianggarkan 20 orang jatuh ke tanah," katanya kepada Bernama. 
Abdul Ghani berkata empat orang mengalami luka setelah terkena serpihan kayu lantai yang patah dengan tiga daripada mereka dihantar oleh penduduk kampung ke hospital dan seorang lagi oleh ambulans. 
Lantai beranda rumah itu runtuh disebabkan tidak dapat menampung berat orang ramai yang berdiri di atas lantai dalam satu masa, katanya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.