Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 14 Januari 2014

'Sultan Melaka' Ditangkap Polis

Polis menahan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya Sultan Melaka. Foto: The Star

Pada 8 Januari lalu, kerajaan negeri Melaka menolak tuntutan Raja Noor Jan Shah untuk diiktiraf sebagai Sultan Melaka. Foto: mybuletin


MELAKA - Polis hari ini menahan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka' bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaan mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf. 
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Gzali Khan Shahadat, berkata Raja Noor Jan Shah ditahan pada 10.50 pagi ini ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar di Melaka dipercayai bagi menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali "Kesultanan Melayu Melaka". 
"Penahanan dibuat berdasarkan laporan polis dibuat ramai penduduk, tidak kurang 10 laporan dibuat antaranya oleh pertubuhan dan NGO (badan bukan kerajaan) yang menyatakan keresahan mereka setelah melihat majlis penganugerahan berkenaan serta jemputan dan pelawaan menghadiri majlis itu," katanya. 
Pada 8 Januari lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata kerajaan negeri Melaka menolak tuntutan Raja Noor Jan Shah untuk diiktiraf sebagai Sultan Melaka dan menegaskan kerajaan negeri hanya mengiktiraf pingat, bintang dan darjah kebesaran diberikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob. 
Shah Gzali Khan berkata, siasatan mendapati kira-kira 50 pengikut Raja Noor Jan Shah dalam perjalanan ke Pulau Besar dipercayai untuk menghadiri majlis kesyukuran itu. 
"Tiada tangkapan dibuat ke atas pengikut ini, tetapi bergantung kepada tindak tanduk mereka sekiranya mereka menghalang polis dan penjawat awam melakukan tugas, mereka akan ditahan," katanya. - Bernama

'Sultan Melaka', Noor Jan Tuah, 57, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini. Foto: Berita Harian

Noor Jan dibawa oleh anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Melaka semalam. Foto: Kosmo!


AYER KEROH - Ahli perniagaan yang mengaku dirinya 'Sultan Melaka', Noor Jan Tuah, 57, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Hasutan 1948. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, perintah tahanan reman itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah, V Kanasan di Kompleks Mahkamah Melaka pada jam 9.45 pagi. 
"Noor Jan ditahan reman sehingga 18 Januari ini bagi memboleh pihak polis menjalankan siasatan lanjut sekaligus melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya," katanya. 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas permohonan tahanan reman tersebut di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan. 
Tinjauan Sinar Harian, mendapati pasukan polis turut berada di hadapan pintu masuk kompleks sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. 
Bagaimanapun, pengikut Noor Jan tidak kelihatan di kawasan kompleks sehingga dia meninggalkan pekarangan kompleks 20 minit diiringi pegawai dan anggota polis menaiki van. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.