Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 15 Januari 2014

Pasangan Warga Emas Maut Dilanggar Komuter

Pasangan warga emas terbunuh akibat dirempuh dan diseret tren komuter berhampiran Stesen Komuter Kajang. Foto: Khabarkini

Lokasi pasangan warga emas maut dilanggar komuter di Kajang, Selangor semalam. Foto: Kosmo!

Anggota bomba mengusung jenazah mangsa. Foto: myMetro



KAJANG – Niat murni sepasang suami isteri warga emas untuk menziarahi saudara mereka yang terlantar sakit di Sungai Long di sini tidak kesampaian apabila mereka terbunuh akibat dirempuh dan diseret tren komuter di sini semalam. 
Kejadian berhampiran Stesen Komuter Kajang dekat Jalan Reko pada pukul 12.35 tengah hari itu menyebabkan Md. Nor Lian, 69, dan isterinya, Noriah Mat Ani, 65, maut selepas diseret sejauh tiga kilometer. 
Menurut adik ipar mangsa yang enggan dikenali, pasangan suami isteri berkenaan kerap menziarahi ibunya yang sakit pada setiap minggu. 
Ujar ipar mangsa lagi, Md. Nor dan Noriah yang tinggal bersama tiga anak lelaki mereka berhampiran stesen komuter di Kajang Utama kerap melintas landasan tersebut sebelum menaiki kenderaan awam di hentian. 
“Pukul 10 pagi tadi (semalam) abang telefon dan beritahu hendak ke rumah. Selepas melintas landasan, mereka akan menunggu teksi atau bas di hentian Kajang seperti biasa. 
“Biasanya kurang daripada sejam mereka akan sampai ke rumah saya, tetapi kira-kira pukul 2 petang pula, kami dikejutkan dengan kejadian itu,” katanya semasa ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kajang di sini. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kedua-dua mangsa yang tinggal kira-kira 200 meter dari tempat kejadian maut serta-merta akibat cedera parah. 
“Mangsa adalah warga emas yang tidak bekerja dan disara oleh tiga orang anak lelaki. Mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat. 
“Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar komuter yang dalam perjalanan dari Seremban ke Rawang,” kata beliau. 
Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Badariah Wan Hanafi berkata, pasangan tersebut melintas di kawasan yang tidak dibenarkan. 
“Justeru, pihak KTMB menasihati orang awam supaya tidak menceroboh landasan dan mengambil risiko berbahaya untuk melintas,” katanya. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.