|
Mayat Nursyafiqah yang ditemui di sebuah rumah kosong Taman Permint Paka Fasa Dua, Paka dikebumikan semalam. Foto: myMetro |
|
Ibu Nursyafiqah merupakan antara empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematiannya. Foto: myMetro |
DUNGUN - “Sebagaimana zalimnya cucu saya dibunuh, saya mahu orang yang melakukannya menerima hukuman setimpal,” kata Semek Hitam, 58, nenek kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah rumah kosong di Taman Permint Paka Fasa Dua, Paka dekat sini, kelmarin.
Lebih membuatkannya pilu, Semek berkata, dia menjaga cucu sulungnya yang dikenali sebagai Nursyafiqah itu sejak mangsa dilahirkan di rumahnya di Kampung Tebing Tembah, di sini.
“Kali terakhir saya bertemu cucu September tahun lalu sebelum dia dan ibunya berpindah ke belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Paka atas alasan ingin berdikari.
“Saya cuba menghalangnya (anak), tetapi dia tetap berkeras dan sejak itu saya tidak pernah berjumpa mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.
Semek berkata, dia hanya mengetahui mengenai kematian cucunya menerusi televisyen malam kelmarin sebelum disahkan seorang ahli keluarganya. - myMetro
|
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata mangsa tidak dirogol. Foto: Sinar Harian |
KUALA TERENGGANU - Laporan awal bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui mati dibunuh di sebuah rumah kosong di Taman Permint, Seberang Paka Dungun tidak menunjukkan kesan penderaan seksual pada mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, hasil laporan awal bedah siasat yang dijalankan tidak menunjukkan mangsa dirogol mahupun diliwat.
Bagaimanapun laporan itu belum muktamad dan polis masih menunggu laporan lanjut daripada bahagian Toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian kanak-kanak itu, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selasa lepas mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan baharu itu kira-kira 3.30 petang selepas terlihat pintu utama rumah berkenaan terbuka serta terhidu bau busuk.
Curiga dengan bau itu pengawal keselamatan itu masuk ke dalam rumah berkenaan dan menemui mayat kanak-kanak itu dalam keadaan terbaring di bilik air. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.