Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 24 Januari 2014

Mustahil Salji Turun Di Sini - Saintis Malaysia

Kanak-kanak di Kampung Tualang, Kuala Krai memakai baju sejuk ketika berjalan ke kelas mengaji, semalam. Foto: myMetro

Syahirah Omar, (kanan) bersama adiknya, Fatimah, berselubung kesejukan di Kampung Pusu Tinggi, Besut. Foto: myMetro

Muaz Nordin mengenakan baju tebal di Kota Kinabalu, semalam. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - “Suhu sejuk daripada biasa yang dirasai di kebanyakan tempat terutama kawasan pantai timur dan utara Semenanjung pada minggu ini disebabkan tiupan angin timur laut yang agak kencang dari tanah besar China yang kini sedang mengalami musim sejuk. 
“Adalah agak mustahil untuk negara beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina mendapat salji kerana suhu udara secara umumnya tinggi sepanjang tahun.” Demikian jelas Pegawai Meteorologi Bahagian Khidmat Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Dr Mohd Hisham Mohd Anip yang meminta orang ramai supaya tidak mempercayai kononnya cuaca sejuk yang berlaku di negara ini dipengaruhi kejadian salji di negara jiran. 
Sebaliknya, beliau berkata, secara relatifnya, Januari dan Februari merekodkan suhu minimum yang lebih rendah berbanding bulan lain di kebanyakan tempat di seluruh negara. 
“Selain itu, keadaan cuaca yang baik dan tidak berawan di seluruh negara sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi. 
“Keadaan atmosfera tanpa awan boleh disamakan seperti tiada selimut untuk memanaskan badan kita kerana selimut adalah awan dan badan pula bumi menyebabkan suhu terasa lebih sejuk berbanding biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam. 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus di laman media sosial yang mendakwa suhu di beberapa negeri termasuk Perlis yang dijangka mencatat bacaan serendah 17 darjah Celsius pada Sabtu ini selain di pantai timur semalam yang turut mencatatkan bacaan sama. 
Mengulas dakwaan itu, Mohd Hisham berkata, stesen meteorologi di Chuping, Perlis pernah mencatatkan suhu terendah 17.8 darjah Celcius pada Februari 1994, tetapi semalam bacaannya pada 22 darjah Celcius. 
“Suhu terendah dicatatkan pada tahun ini ialah di Kuala Krai, semalam pada bacaan 17.2 darjah Celcius yang sama seperti Februari 1993. 
Setakat ini, memang kita tidak menerima sebarang laporan mengatakan cuaca sejuk ini akibat daripada negara jiran yang berlaku salji. 
“Salji hanya boleh terbentuk pada takat beku iaitu kosong atau setidak-tidaknya satu atau dua darjah Celcius,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya merujuk laman web JMM atau menghubungi agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang sahih. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.