Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 6 Mac 2014

Bisnes Cendawan

Rumah cendawan yang didirikan di kawasan Stesen MARDI, Jalan Kebun, Klang. Foto: myMetro

Teknik penghasilan tisu di makmal. Foto: myMetro

Dua pegawai MARDI memantau penghasilan benih cendawan dihasilkan Mohd Noriman. Foto: myMetro


Dirinya baru mencecah 30 tahun, namun kesungguhan Mohd Noriman Mohd Nor terbabit dalam sektor pertanian perlu dipuji. 
Jika rakan lain lebih selesa makan gaji, dia mahu berdikari hasil titik peluh diusahakan sendiri. 
Perjalanan kerjaya barunya bermula tahun lalu sebaik tamat kursus teknologi cendawan. 
Biarpun memperoleh sijil instrumen dari Institut Petroleum Petronas di Batu Rakit Kuala Terengganu selama dua tahun, tiada peluang pekerjaan mendorong dia memilih pertanian. 
Hasil tuaian cendawan menarik minat Mohd Noriman menyertai kursus anjuran MARDI. 
Siapa sangka kursus jangka pendek itu merangsang dirinya membuka perniagaan benih cendawan. 
“Pada mulanya saya hanya menyertai kursus asas sehari anjuran MARDI di Serdang. 
“Dari situ, saya mempelajari perkara asas berkaitan teknologi cendawan termasuk teknik pengkulturan, penyuntikan benih dalam bongkah di makmal,” katanya. 
Dengan modal permulaan yang dikumpul hasil daripada pembukaan kedai cermin mata bernilai RM15,000, dia memulakan langkah pertama. 
“Saya menggunakan wang simpanan untuk memulakan perniagaan benih cendawan. Saya bertuah mendapat bimbingan berterusan MARDI,” katanya. 
Sebagai usahawan bimbingan MARDI, Mohd Noriman dibenar menggunakan makmal penghasilan benih cendawan di Stesen MARDI, Jalan Kebun, Klang. 
“Lebih membanggakan, bidang yang saya ceburi ini membolehkan projek dilaksanakan dijadikan sebagai ladang contoh oleh MARDI. 
“Itu juga sedikit kelebihan diberikan MARDI kepada usahawan bimbingan mereka, sekali gus melayakkan saya untuk menggunakan kemudahan MARDI,” katanya. 
Mohd Noriman berkata, semua benih yang dihasilkan dijual kepada penanam cendawan di Selangor, selain Sabah dan Sarawak. 
“Industri benih cendawan ini sentiasa ada dan mendapat permintaan baik. Dalam tempoh dua bulan, cendawan boleh dituai sehingga lapan kali,” katanya. 
Berkongsi pengetahuan katanya, agar-agar perlu dimasukkan dalam bekas PDA untuk proses pengkulturan benih cendawan. 
“Setiap kotak PDA akan diletakkan tiga tisu cendawan dan ia dibahagikan kepada 60 bahagian untuk 60 beg cendawan. 
“Seminggu kemudian, tisu cendawan berkenaan perlu dipindahkan untuk disuntik ke dalam biji gandum yang mengandungi berat 300 gram,” katanya. 
Menurutnya, persekitaran bersih diperlukan dalam makmal termasuk proses menyahkuman peralatan menggunakan api alat penunu Bunsen dan semburan pembasmi kuman. 
Anak kelahiran Paya Jaras, Selangor itu juga berhasrat melebarkan perniagaan ke seluruh negara dengan membekalkan benih cendawan jenis ‘black jelly’, ‘monkey head’, ‘abalone’ dan tiram kelabu. 
Layari blog www.spawntek.blogspot.com untuk maklumat lanjut. - Mohd Sabran Md Sani/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.