Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 26 Mac 2014

Menternak Burung Walet

Mohd Razali (kiri) disamping isteri dan anak menunjukkan sarang burung walet yang diusahakan mereka. Foto: myMetro

Sarang burung ditanggal dengan berhati-hati menggunakan pisau. Foto: myMetro

Mohd Razali menunjukkan anak burung walet yang dibiarkan menetas bagi menambah bilangannya. Foto: myMetro



Bermula dengan ‘cuba-cuba’, projek ternakan burung walet diusahakan Mohd Razali Abd Rahman, 55, menampakkan kejayaan. 
Selepas 12 tahun berkecimpung dalam industri penternakan burung walet, Mohd Razali mampu tersenyum bangga. 
Ini kerana burung walet yang diternak sejak sekian lama itu sudah mengeluarkan hasil. 
Bertugas sebagai kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memberi kelebihan kepadanya melaksanakan projek itu. 
Sepanjang tempoh menceburi kerjaya terbabit, Mohd Razali turut memiliki premis yang diubahsuai, selain ba­ngunan kekal untuk ‘perumah’ haiwan itu. 
Paling unik, dia juga memiliki sebuah bilik khas di kediamannya di Kampung Peramu, Pekan sebagai lokasi burung walet berteduh dan membuat sarang. 
Dia mengakui, ketika mula membabitkan diri hanya beberapa burung walet datang berteduh. 
“Sejak itu, bilangannya bertambah dari sehari ke sehari dan kini jumlahnya lebih 1,000 ekor. 
“Proses pembiakan secara semula jadi di rumah burung juga meningkat­kan bilangannya setiap tahun,” katanya. 
Katanya, program inap desa yang diperkenalkan mencetuskan idea menambah bilangan burung walet. 
“Justeru, saya menyediakan bilik khas sebagai tempat burung walet tinggal dan membiak dikenali inap desa burung walet,” katanya. 
Katanya, pada peringkat awal banyak pihak tidak yakin serta memberi komen negatif terhadap projeknya tetapi berkat kesabaran dan pengalaman, dia berjaya. 
“Saya yakin rezeki Allah dan keikhlasan serta sifat sayangkan burung menyumbang kepada kejayaan projek inap desa burung walet ini,” kata bapa kepada lapan anak itu. 
Dia bersyukur sepanjang lapan tahun berkongsi rumah dengan haiwan itu, dia tiada sebarang masalah. 
“Burung ini hanya masuk ke bilik pada waktu malam. 
“Walaupun berkongsi rumah dengan burung walet, semua bilik ditutup kecuali di bahagian bumbung,” katanya. 
Bagi memastikan kebersihan dalam bilik, dia membersihkan najis burung itu setiap bulan. 
“Saya mendapat bantuan anak dan isteri,” katanya. 
Katanya, projek inap desa burung walet itu memberikan pendapatan lumayan kerana mampu menghasilkan antara 1,000 hingga 2,000 sarang pelbagai gred setiap tahun. 
Menurutnya, sarang burung gred A Super dijual antara RM1,800 hingga RM2,000 sekilogram, gred AB (RM1,500) dan RM1,000 bagi gred C. 
“Proses memungut sarang burung walet dilakukan tiga hingga empat kali setahun dan ia perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan sarang tidak rosak. 
“Saya hanya menjual sarang burung kotor setiap dua hingga tiga bulan sekali pada harga ditetapkan pemborong,” katanya. 
Katanya, kehadiran burung walet tidak hanya bergantung kepada persekitaran dan bangunan besar, sebaliknya suasana tempat dan bahan binaan. 
Contohnya, ramai tidak menyang­ka sebuah bilik dalam rumah mampu menjadi tempat burung walet berteduh, namun disebabkan keadaan sekeliling yang selesa, ia menjadi tumpuan haiwan itu. 
Menurutnya, terdapat bangunan yang menarik dengan pelbagai kemudahan seperti alat bunyi dan kolam air, namun masih tidak dapat menarik perhatian burung walet. 
“Ada juga pengusaha yang tamak mengambil sarang sedang­kan burung walet belum bertelur. Ini menyebabkan jumlah haiwan itu berkura­ngan. 
“Walaupun harga sarang burung kotor agak rendah, saya percaya rezeki akan sentiasa ada,” katanya. 
Musuh utama burung walet dalam bangunan ialah burung hantu dan tikus. 
“Burung hantu dan tikus akan makan selain membunuh burung walet, ini merugikan pe­ngusaha,” kata­nya. - Mohd Rafi Mamat/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.