Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 26 Mac 2014

Kanak-kanak Dilarang Guna Telefon Bimbit

Kanak-kanak di sebuah bandar di Jepun dilarang menggunakan telefon bimbit selepas jam 9 malam untuk mengelak pembulian siber

Ibu bapa diminta mengambil telefon pintar anak mereka selepas pukul 9 malam dan memantau laman web yang mereka akses


TOKYO - Kanak-kanak di sebuah bandar di Jepun dilarang menggunakan telefon bimbit selepas jam 9 malam dalam usaha menangani masalah pembulian siber. 
Jurucakap lembaga pendidikan Kariya berkata, bermula April ini, 13,000 kanak-kanak berusia antara enam dan 15 tahun di bandar itu akan terikat dengan peraturan baru itu. 
Usaha ini diharapkan mampu menghalang golongan itu terjebak dalam kes pembulian siber, menghabiskan masa bertukar-tukar emel menggunakan telefon bimbit selain mengekang kesan negatif lain akibat penggunaan berlebihan aksesori itu. 
Inisiatif itu hasil usaha polis, pekerja sosial dan guru. Bagaimanapun, ibu bapa tidak akan dihukum jika anak mereka tidak mematuhi peraturan berkenaan. 
Ibu bapa bagaimanapun diminta mengambil semua telefon bimbit selepas jam 9 malam dan memantau penggunaan laman web anak mereka dalam kempen yang membabitkan 21 sekolah itu. 
Beberapa minggu lalu, kerajaan mendedahkan statistik menunjukkan penggunaan tinggi telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun. 
Mengikut statistik itu, kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun menghabiskan masa online 107.4 minit secara purata sehari menggunakan telefon bimbit. 
Cadangan mengehadkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun pertama kali dibuat pada 2008 berikutan masalah pembulian siber kini dihadapi kanak-kanak dan ibu bapa di seluruh dunia. - Agensi/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.