Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 21 Mac 2014

Khasiat Madu Lebah



Kehebatan madu memang tidak dapat disangkal lagi. Ia makanan berkhasiat dan sering disebut sebagai penawar kepada pelbagai penyakit di dalam al-Quran. 
Madu asli mengandungi enzim hidup yang amat diperlukan tubuh manusia di mana kandungan bahan aktif yang dihasilkan lebah tidak boleh ditiru atau dihasilkan secara sintetik melalui penyelidikan makmal. 
Madu dijadikan bahan dan ubat di dalam perubatan Islam berdasarkan dalil al-Quran  yang bermaksud: 
“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir." Ayat 68-69, Surah An-Nahl
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa minum madu setiap bulan dengan niat mengikut nasihat al-Qur’an, Allah SWT akan menyembuhkannya daripada 77 penyakit”. 
Terdapat satu kisah apabila Rasulullah SAW menyuruh seorang lelaki meminum madu untuk mengubati sakit perutnya dan lelaki itu diminta menambah dos madu sehingga mencapai dos sesuai untuk melegakan sakit perutnya. 
Namun, apa yang membuatkan madu sebagai penawar untuk kesihatan manusia? 
Adakah kerana rasanya yang manis dan sedap atau manfaat kebaikannya yang tiada tolok bandingan? 
Ketahui rahsia madu sebagai penawar kesihatan. 
Jika gula adalah pilihan utama sebagai pemanis, anda mungkin perlu menukar pilihan anda. 
Menurut Dr Susan Percival dari Universiti Florida, Amerika Syarikat, madu adalah alternatif pemanis semula jadi kepada gula atau gula tiruan. 
Ini kerana madu mengandungi gula kompleks yang lambat dicernakan di dalam perut. Ini membuatkan anda bertenaga dan kekal cergas berbanding gula biasa yang cepat dicernakan dan membuatkan mengantuk. 
Madu mengandungi antioksidan yang tinggi untuk menghalang pembentukan radikal bebas yang menyebabkan penyakit. 
Dengan pengambilan madu yang berterusan, ia boleh mengendurkan urat-urat yang tegang, memudahkan penghadaman, memperbaiki fungsi jantung dan hati, meningkatkan penghasilan sel darah merah serta disyorkan untuk membantu pesakit anoreksia di kalangan kanak-kanak. 
Ia juga membantu menghilangkan lendir di dalam badan dan melancarkan peredaran darah. 
Sejak beribu-ribu tahun lamanya, madu sering dikenali penawar semula jadi untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang berpanjangan. 
Ini kerana madu mempunyai sifat antibakteria yang mampu menghalang jangkitan bakteria yang menyebabkan penyakit. 
Bahan aktif di dalam madu yang dipanggil eucalyptol bertindak sebagai antiseptik untuk mencegah jangkitan kuman dan kulat. 
Selain itu, madu boleh mempercepat penyembuhan dan mengurangkan kesan parut. 
Ini kerana komposisi unik kandungan yang terdapat dalam madu boleh bertindak sebagai agen anti-mikrob yang menghalang jangkitan bakteria pada kulit yang cedera akibat kebakaran atau luka. 
Pengambilan sesudu madu setiap hari boleh membantu meningkatkan ingatan, terutama kepada wanita yang menopaus. 
Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati, wanita dapat mengingat kembali beberapa patah perkataan di dalam satu ujian memori jangka pendek apabila diberikan madu selama empat bulan. 
Ini kerana khasiat glukosa di dalam madu boleh memberikan tenaga segera kepada otak supaya boleh berfikir dan mengingat kembali perkara-perkara yang berlaku. 
Masalah kembung perut dan angin yang terperap di dalam badan sering mengganggu kita. 
Madu mempunyai kesan laksatif yang mampu mengelakkan sembelit dan masalah tidak lawas serta mengurangkan angin dan bisa-bisa dalam badan, menjadikan badan lebih cergas dan bermaya. 
Dari sudut kecantikan, madu dikatakan sebagai jawapan bagi wanita yang mengimpikan kulit yang mulus dan berseri. 
Pengambilan madu berterusan sama ada diminum atau disapu terus ke wajah khususnya sebagai topeng, membantu menjadikan kulit wajah segar dan mengecilkan pori-pori. 
Madu juga bertindak sebagai pelembap muka untuk membekalkan kelembapan berpanjangan. mengurangkan kesan jerawat dan melindungi kulit daripada dimamah usia. 
Kulit lebih anjal, lembut dan tidak mengelupas. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.