Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 20 Mac 2014

Mengembara Ke Taman Warisan Gua Kota Gelanggi



Wow, cantiknya! Macam dalam National Geographic. Dekat Malaysia ke ni? 
Itu antara reaksi yang diberikan rakan-rakan ketika penulis memuat turun gambar ketika berada di salah satu daripada enam gua yang dikunjungi di Jerantut, Pahang, baru-baru ini. 
Sejujurnya, penulis bersama rakan dan jurugambar bagaikan tidak percaya dengan pencahayaan yang cukup mempesona ketika kami di dalam Gua Sanding itu. 
Malah, jurugambar, Nazirul Roselan mengakui bertuah kerana berpeluang melihat sendiri kejadian alam ciptaan-Nya. 
Pemandangan Gua Sanding yang indah.
Mana tidaknya, walaupun beberapa kali berkunjung ke Gua Sanding itu, dia tidak pernah mendapat kesempatan berkenaan. 
Lebih istimewa, cahaya matahari tengah hari itu bagaikan menyuluh ruang gua yang gelap sebaik kami tiba. 
Itulah pengalaman menarik penulis saat mengunjungi Gua Sanding, salah satu daripada 11 gua di Taman Warisan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang. 
Dibuka kepada pengunjung sekitar 1998 di bawah seliaan Felda Residence Tekam, terdapat 30 gua yang dikenal pasti dalam Taman Warisan Gua Kota Gelanggi. 
Bagaimanapun, hanya 11 gua yang boleh dikunjungi antaranya Gua Balai, Gua Tongkat, Gua Penyu, Gua Terang Bulan, Gua Potret, Gua Angin, Gua Sanding, Gua Gajah, Gua Kelapa Gajah, Gua Hijau dan Gua Gelap. 
Memulakan penerokaan di Taman Warisan Gua Kota Gelanggi ini, merentasi hutan menghijau sejauh 500 meter dengan angin pagi yang bertiup lembut bagaikan memberi semangat meneroka ciptaan Allah. 
Pagi itu, kami meneroka Gua Angin, Gua Gajah dan Gua Sanding yang memiliki keunikan dan cerita tersendiri. 
Di kaki Gua Angin, sinar matahari pagi dari celahan pokok hutan memberi biasan amat cantik. 
“Namun, itu hanya mukadimah,” kata Azmi Baharuddin, 33, Penyelia Unit Rekreasi Felda Residence Tekam yang juga menjadi jurupandu kami. 
Katanya, ada banyak lagi yang pasti membuatkan kami terpegun tetapi kami perlu menempuh beberapa kesukaran melalui celahan batu yang sempit dan gelap. 
Langkah diatur kemas memasuki ruang gua yang gelap. Sampai di satu sudut, celahan batu dimaksudkan Azmi sudah ada di depan mata. 
Laluan sempit di celahan batu antara cabaran yang menanti.
Pintu untuk naik ke Gua Angin itu memang sempit kerana dinding dan lantainya hanya setinggi empat meter. 
Dengan tubuh saya yang agak kecil, memang tidak sukar untuk melalui celahan batu itu, cuma kita perlu berhati-hati bagi mengelak kepala terlanggar batu. 
Sinar matahari dari celahan pokok hutan memberikan pemandangan menarik di kaki Gua Angin.
“Mengapa namanya Gua Angin?” tanya saya. 
“Kerana ia berangin,” jawab Azmi ringkas. 
Kemudian, kami terus berlalu dan terpaksa melalui celahan batu untuk ke Gua Gajah. 
Di Gua Gajah, kami terpaksa menggunakan lampu suluh kerana keadaan terlalu gelap dan dalam cahaya yang samar-samar kami dapat melihat batu berbentuk seekor gajah. 
Azmi yang 13 tahun bekerja di Felda Residence Tekam ini berkata, asalnya hanya Gua Angin dan Gua Sanding terdapat di kawasan itu. 
Kami dibawa ke satu lagi batu berbentuk seperti kawasan padi bukit yang dipanggil ‘gourpool’ di Gua Gajah. 
Kelihatan seekor gajah menuju ke kawasan gourpool. Namun, lensa kamera gagal merakam pemandangan unik itu. 
Gua Sanding hanya bersebelahan Gua Gajah. Apabila kami melangkah ke gua itu, kami terpegun dengan pencahayaan yang cukup menarik. 
Nazirul sibuk merakam gambar di gua itu malah saya sendiri menggunakan kamera telefon bimbit untuk mengambil beberapa panorama indah itu. 
“Ini memang rezeki kita,” kata Nazirul sambil mengambil gambar lagi. 
Selain itu, Gua Sanding juga menawarkan pemandangan paling cantik dan ceritanya juga menarik. 
Keindahan alam semula jadi yang cantik dan terjaga cukup mendamaikan.
Kebanyakan gua di Taman Warisan Gua Kota Gelanggi itu berusia lebih 130 juta tahun dan penemuan pelbagai bentuk batuan di gua itu berkait rapat dengan sejarah dan lagenda asal usul Gua Sanding. 
“Nampak tak bentuk burung unta itu. Di sebelah mukanya pula ada dua bilah keris,” kata Azmi.  
“Di bawah dua bilah keris itu ada seorang tua duduk sedang memegang janggut. 
“Kemudian ada perempuan sedang bersandar di bahunya di sebelah kiri dan di kanan pula ada anak kecil bersandar di kakinya,” kata Azmi. 
Saya seperti terlopong melihat panorama indah di gua itu tetapi di mana sandingnya. 
Belum sempat mengajukan soalan, Azmi mengajak kami ke satu sudut di atas gua. 
Azmi terus menyuluh satu lagi tunggul baru yang cukup unik berbentuk singa. 
“Singa dilihat sedang merenung seekor burung helang dan di sebelah batu berbentuk haiwan itu menunjukkan bentuk perempuan yang sedang berdiri. Di sebelahnya pula, bentuk seorang lelaki. 
“Dari situlah terjadinya nama Gua Sanding,” kata Azmi. 
Namun, setiap penceritaan adalah berlainan mengikut kepada pemahaman mereka yang mengetuai penerokaan ke gua itu. 
Sesuatu yang unik mengenai ketiga-tiga gua itu ialah kedudukan yang bertingkat, bermula dari Gua Angin, Gua Gajah dan Gua Sanding. 
Penerokaan ke Gua Potret, Gua Kepala Gajah dan Gua Tongkat tidaklah terlalu sukar dan hanya mengambil masa 10 minit perjalanan. 
Gua Potret mendapat namanya menerusi bayangan yang terdapat di pintu gua yang seakan-akan Potret Monalisa. Pelbagai spesies kelawar juga boleh dilihat bergantung di dinding gua. 
Batu yang berbentuk kepala gajah yang cukup unik itu secara jelas menunjukkan ia adalah Gua Batu Gajah dan seterusnya Gua Tongkat. 
Gua Tongkat yang seperti pintu gerbang dan di dalamnya ada air yang mengalir jernih sememangnya cukup unik. 
Aktiviti abseiling antara yang ditawarkan di Gua Balai.
Di Gua Balai, tidak banyak memberikan bentuk unik tetapi menawarkan aktiviti menarik serta pengalaman unik, antaranya ‘abseiling’ dan berkhemah. 
Dengan lantai gua yang rata dan kawasan yang luas, ia memang sesuai untuk dijadikan kawasan perkhemahan apatah lagi suhu yang sejuk di waktu malam. 
Selesai meneroka tujuh gua di Taman Warisan Gua Kota Gelanggi ini, penulis perasan bahawa gua yang kami terokai tidak banyak stalaktit dan stalagmit. 
Secara tidak langsung, penerokaan gua di sini lebih santai dan menonjolkan banyak keunikan malah suasana yang ditawarkan cukup tenang. 
Hubungi Felda Residence Tekam di talian 09-471 8300 untuk maklumat lanjut. - Suliati Asri/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.