|
Satu kemalangan yang membabitkan van dan kereta yang meragut dua nyawa di Wakaf Raja pada Jumaat lalu. Foto: Sinar Harian |
|
Kejadian nahas dua kereta di Bukit Yong yang meragut nyawa ibu dan anak dalam pelukan pada Jun 2008. Foto: Sinar Harian |
|
Kereta terbabas dan terperosok di bawah lori balak dalam kejadian pada April 2009. Foto: Sinar Harian |
|
Enjin terpelanting keluar selepas kereta merempuh pokok kelapa dalam nahas yang berlaku pada September 2008. Foto: Sinar Harian |
PASIR PUTEH - Jumaat lalu (17 Mei), dua lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 49 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Wakaf Raja dekat sini.
Kemalangan berlaku apabila kereta mereka bertembung van dari arah bertentangan yang terbabas dan memasuki lorong mereka.
Masyarakat sekitar lali dengan kes seperti itu kerana ia antara banyak kes kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 48 (simpang Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja) hingga ke Kilometer 52 (selekoh sempadan Bukit Yong) Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu.
Tiada siapa dapat menjawab kekerapan nahas ngeri meragut nyawa pada jarak empat kilometer itu.
Malah, jalan itu seperti ‘ketagih’ mangsa dan tidak membiarkan tahun berlalu tanpa percikan darah.
Mungkin bagi kemalangan sekitar Kilometer 48 dan 51 terjadi akibat selekoh yang mengelirukan terutama bagi pengguna tidak arif laluan tersebut.
Namun, nahas Jumaat lalu berlaku di jalan lurus, satu kilometer dari selekoh Wakaf Raja.
Begitu juga bagi nahas 6 September 2009 yang meragut nyawa dua beranak dan pemandu selepas kereta mereka digilis bas, tidak berlaku di selekoh, ia berlaku di Kilometer 50.
Selekoh berhampiran sempadan Kelantan Terengganu di Bukit Yong menjadi saksi kemalangan ngeri dan menyayat hati pada 15 Jun 2008, di mana seorang ibu dan anaknya mati dalam keadaan berpelukan dalam nahas membabitkan dua kereta.
Beberapa bulan kemudian pada 19 September 2008, di selekoh Wakaf Raja, seorang lelaki yang memandu kereta sendirian maut apabila keretanya terbabas dan merempuh pokok kelapa di Kilometer 48.
Pada 7 April 2009, seorang pemandu meninggal dunia di tempat kejadian apabila keretanya dari arah Jerteh terbabas merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum terperosok di bawah lori balak.
Pada 6 Februari 2010 pula, seorang lagi lelaki maut selepas keretanya terbabas merempuh tiang rumah sebelum tersadai di tiang elektrik tidak jauh dari selekoh Wakaf Raja.
Manakala tahun lepas, satu keluarga tergamam dan ketakutan apabila kereta dari arah Jerteh merempuh rumah mereka selepas terbabas ketika melalui selekoh, mujur ia hanya merosakkan harta benda.
Kemalangan di kedua-dua selekoh itu sepatutnya dipandang serius dan perlu mekanisme bagi mengatasi kawasan itu terus mengundang celaka.
Jika di selekoh Bukit Yong, ramai beranggapan ia bahaya kerana keadaan jalan yang kerap kali ‘diganggu’ batu kuari bertaburan, namun di selekoh Wakaf Raja yang nampak selamat menjadi persoalan.
Ketepikan unsur puaka yang menjadi buah mulut penduduk setiap kali berlaku kemalangan maut di situ, jalan penyelesaian mesti dicari bagi memastikan selekoh itu lebih selamat.
Mungkin boleh dikatakan, selain keadaan jalan, faktor kemalangan banyak berpunca daripada kecuaian manusia.
Namun langkah-langkah untuk menghalang kemalangan di kawasan ini perlu juga diambil.
Tidak salah jika tanda amaran lebih besar diletak di kawasan berkenaan supaya pengguna jalan raya sedar mereka telah memasuki zon berbahaya sekali gus menidakkan gelaran ‘Jalan sakaratul maut’ itu berterusan. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.