|
Kenderaan yang dipandu Supt Ghazali Daud remuk selepas terbabas di Wakaf Tapai, Marang. Foto: Sinar Harian |
|
Superitendan Ghazali Daud menerima kunjungan VVIP di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu. Foto: Sinar Harian |
KUALA TERENGGANU - Ayam gulai dan nasi putih merupakan masakan terakhir isteri kepada Supt Ghazali Daud, sebelum maut dalam kemalangan ngeri yang turut mengorbankan dua anak mereka di Km 27 Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu semalam.
Ghazali berkata sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu, mereka sekeluarga menikmati masakan isterinya Haniza Abd Rahman, 40.
Sepatutnya saya hanya pulang seorang diri, namun kemudian turut mengajak arwah isteri pulang bersama tujuh anak kami, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ghazali, 49, yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman turut mengakui agak mengantuk sebelum kemalangan itu berlaku.
Dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu, Haniza dan dua anak mereka iaitu Ahmad Firdaus Izuddin, 11, dan Nur Aliah Adibah, 10, maut di tempat kejadian manakala tiga lagi anak mereka parah dan dua cedera ringan. - Bernama
Berita Sinar Harian 1.5.2013
"Saya lihat mangsa bergelimpangan, ada yang di bawah longkang, ada di bawah kenderaan dan ada cedera parah," kata seorang pengguna jalan raya, Faizul Zakaria, 35.
Faizul adalah saksi terawal yang melihat kejadian menyayat hati itu membabitkan keluarga Superintendan Ghazali Daud, 49, di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Wakaf Tapai, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi semalam, tiga terbunuh iaitu isteri Ghazali, Haniza Abd Rahman, 40, dan dua anaknya, Ahmad Firdaus Izzudin, 11, dan Nur Aliah Adibah, 10.
Lima lagi anak mangsa dilaporkan cedera ialah Ahmad Fahmi Izudin, 12; Nur Aliah Afifah, 7; Nur Aliah Atikah, 6; Aina Yusro, 3, dan Akilah Husna yang baru berusia tujuh bulan.
Ghazali yang turut cedera parah, bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman, dikatakan pulang ke kampung untuk mengundi awal di Batalion 9, Seberang Takir.
Mangsa bersama keluarga dari Kuala Lumpur menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Inova sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kiri jalan.
Sementara itu, Faizul berkata, ketika kejadian, dia berada di sebuah kedai dan mengetahui kemalangan itu selepas dia dan rakannya, Mohd Saiful Anuar, 22, melihat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai melalui jalan berkenaan.
“Saya dan rakan segera mengekori jentera bomba itu dan sebaik tiba di lokasi kejadian, saya lihat keadaan mangsa amat menyayat hati," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang mengesahkan kejadian itu berkata, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.
Difahamkan, Ghazali beralamat dari Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payung, Marang, sementara arwah isterinya pula berasal dari Gong Pak Jin, Mengabang Telipot.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mangsa yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman juga salah seorang anggota dari Bukit Aman yang ditugaskan membantu Kontinjen Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Ahad ini.
“Saya difahamkan, selain pulang mengundi, mangsa turut pulang untuk bertugas pada PRU13 bagi bantu Kontinjen Terengganu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.