|
Arwah Nurhidayah bersama suami dan anak-anak. Foto: jiran.endonesa.net |
|
Hotel tempat Nurhidayah bekerja sebagai kerani akaun |
KUALA LUMPUR - Seorang pembantu akaun mati selepas dipercayai menjadi mangsa dera suaminya sejak sekian lama di Taman Bahagia di sini, semalam.
Nurhidayah A Ghani, 28, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 1.10 pagi semalam, ketika menerima rawatan.
Difahamkan, mangsa cedera parah di kepala dan badan, dipercayai akibat dipukul dengan objek keras. Pasangan yang berkahwin lebih 10 tahun lalu itu mempunyai empat anak, dikatakan dalam proses bercerai dan tinggal berasingan sejak Februari lalu berikutan mangsa tidak tahan dengan sikap baran suaminya.
Mangsa tinggal bersama ibunya, didatangi suaminya Khamis lalu dan dipaksa secara kasar pulang ke rumah mereka yang terletak berhampiran.
Enggan pergaduhan berpanjangan, mangsa menuruti kehendak suaminya tetapi pasangan itu dikatakan bertengkar di rumah mereka hingga menyebabkan wanita itu parah akibat dipukul dengan objek keras, selain turut ditumbuk berkali-kali.
Suaminya yang bekerja sebagai tukang masak, dikatakan panik selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan menghantar mangsa ke PPUM kira-kira jam 11 kelmarin sebelum menghilangkan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika mengesahkan kejadian berkata, jiran mereka mendengar kekecohan di rumah mangsa sekitar jam 11 pagi kelmarin.
Katanya, pergaduhan dipercayai berpunca daripada keengganan mangsa kembali tinggal bersama suaminya walaupun dipujuk berkali-kali. Ia menyebabkan suspek berang lalu mengasari isterinya.
Menceritakan kejadian itu, kakak mangsa, Ummi Kalsom berkata, adiknya menerima nasib malang selepas melahirkan anak sulung yang kini berusia 10 tahun dan kurang upaya.
“Keadaan anak sulung mereka bukan penyebab utama arwah dibelasah, namun tabiat suaminya yang ketagih dadah dan arak selain panas baran menyebabkan adik saya menjadi mangsa belasahannya.
“Arwah sering melarikan diri ke rumah keluarga di Kampung Muhibah, Jalan Puchong, namun suaminya pandai memujuk dan membawanya pulang ke rumah” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.10 pagi ketika menerima rawatan manakala hasil bedah siasat menemui banyak kesan luka lama dan baru serta lebam di tubuhnya, besar kemungkinan akibat didera. Suspek kes giat diburu, katanya. - Berita Harian/myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.