|
Muhamad Arif Fikri Rosli, 14, tertusuk serpihan buluh bendera parti pada lehernya. Foto: Sinar Harian |
|
Muhammad Arif Fikri Rosli bernasib baik kerana tusukan buluh itu tidak mengenai saraf utama. Foto: myMetro |
KOTA BHARU - Berpantang ajal sebelum maut. Itu gambaran dialami seorang remaja yang tertusuk serpihan buluh bendera parti pada lehernya dalam kejadian di Kampung Mak Makyong di sini, Selasa lalu.
Insiden berlaku pada jam 8 malam ketika Muhamad Arif Fikri Rosli, 14, menunggang motosikal bersama seorang rakannya, melalui sebuah jambatan kecil.
Ibu mangsa, Rohana Yusof, 58, berkata, Muhamad Arif sebelum itu meminta izin ke pos parti berdekatan untuk makan malam, bagaimanapun begitu ketika melalui jambatan itu, serpihan buluh bendera yang patah tertusuk pada lehernya.
“Keadaan jalan ketika itu gelap dan dia tidak nampak buluh tersebut lalu melanggarnya sebelum memberhentikan motosikal.
“Muhamad Arif dibantu penduduk kampung dan dihantar ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana pendarahan yang banyak.” katanya ketika ditemui di (HUSM) di sini, semalam.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa anak kelima daripada enam beradik itu ketika berada di surau berhampiran dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya tidak sempat jumpa Muhamad Arif kerana sudah dibawa ke hospital, bagaimanapun saya bersyukur kecederaan dialami tidak serius dan tusukan buluh itu hanya kena pada kulit dan isinya sahaja. Sikit lagi nak kena pada urat lehernya.
“Syukur alhamdulillah, anak saya selamat walaupun menerima hampir 20 jahitan. Dia sudah boleh makan dan bercakap perlahan-lahan selain dibenarkan pulang hari ini (semalam).,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.