Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 14 Mei 2013

Lagi Kejadian Tembak Di Lampu Isyarat

Foto
Dua lelaki maut dan dua lagi cedera parah ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun. Foto: myMetro

Polis memeriksa kenderaan yang dinaiki empat lelaki yang ditembak berhampiran lampu isyarat Bukit Tambun. Foto: Bernama


BATU KAWAN - Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, di sini malam tadi. 
Kedua-dua lelaki itu mati ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya dan hasil siasatan awal polis mendapati mereka mempunyai beberapa rekod jenayah. 
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata keempat-empat lelaki itu ditembak selepas pulang daripada majlis perkahwinan saudara mereka di sebuah dewan kira-kira 150 meter dari tempat kejadian. 
"Mereka yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux datang dari Melaka. Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat itu kira-kira pukul 10.30 malam, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampiri kenderaan mereka dan melepaskan beberapa das tembakan dari arah kiri ke kanan," katanya. 
Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, di sini awal pagi ini, Abdul Rahim berkata mereka yang ditembak itu berusia antara 28 dan 60 tahun. 
"Dua lelaki yang mati itu berusia 28 dan 40 tahun manakala dua yang cedera parah kini dirawat di Hospital Seberang Jaya," katanya. 
Abdul Rahim berkata polis menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian dan percaya suspek menggunakan pistol jenis automatik. 
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan perniagaan. 
"Saya meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.