|
Kebakaran dikatakan berlaku pada jam 11 malam berpunca daripada kerosakan sistem kawalan gerabak elektrik. Foto: Sinar Harian |
|
Mangsa kemalangan ini masih sempat minum air kotak. Foto: Sinar Harian |
|
Walaupun berada dalam situasi sukar namun para mangsa masih mampu tersenyum. Foto: Sinar Harian |
BAGAN SERAI - Lebih 50 penumpang berdepan detik cemas apabila kereta api yang dinaiki terbakar di bahagian gerabak kawalan sebelum hilang kawalan dalam satu kejadian di Bukit Merah di sini, kelmarin.
Kebakaran yang berlaku pada jam 11 malam itu berpunca daripada kerosakan sistem kawalan gerabak elektrik dan turut menyebabkan enjin kenderaan berkenaan meletup.
Letupan itu mengakibatkan tiga jurupandu gerabak kawalan terbunuh.
Insiden itu membuatkan lebih 50 penumpang panik berikutan kejadian itu berlaku di atas landasan kereta api yang dibina merentasi Kolam Bukit Merah sejauh 3.5 kilometer.
Lebih menakutkan, api mulai marak dan merebak ke beberapa gerabak lain yang berada di belakangnya namun, tiga petugas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad yang ditempatkan di dalam gerabak penumpang berusaha memadamkan api.
Mereka berusaha mengeluarkan penumpang yang terkepung di dalam setiap gerabak dan menghubungi talian kecemasan 911.
Dalam tempoh 30 minit, sembilan jentera bomba dari sembilan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia zon Perak Utara tiba di lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan kecemasan.
Sebahagian mangsa yang terperangkap di dalam gerabak dan mengalami cedera ringan berjaya dikeluarkan menggunakan sebuah ‘tramp’ kecemasan serta bot penyelamat.
Semua penumpang cedera termasuk mayat mangsa yang terbunuh berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital terdekat untuk menerima rawatan.
Situasi cemas yang berakhir kira-kira jam 2 pagi itu, bagaimanapun bukanlah insiden sebenar sebaliknya hanya simulasi kemalangan yang dilaksanakan pada Program Latihan Kecemasan dan Kebakaran Keretapi, anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Perak Utara dengan kerjasama MMC Gamuda JV kelmarin.
Diadakan di landasan kereta api elektrik berkembar merentasi Kolam Bukit Merah di sini melibatkan lebih 70 anggota bomba, kakitangan MMC Gamuda JV dan KTM Berhad di daerah Kerian, latihan itu berjaya mencapai matlamat.
Ketua Operasi Latihan Kecemasan dan Kebakaran Zon Perak Utara, Zainuddin Abdul Rahim berkata, objektif latihan kecemasan adalah meningkatkan pengetahuan kakitangan KTM Berhad serta anggotanya mengenai langkah yang wajar diambil dalam menangani situasi kecemasan.
“Kita mahu semua bersedia berhadapan dengan insiden itu. "Simulasi ini juga dilaksanakan untuk menguji kecekapan dan mempertingkatkan tahap kesiagaan kakitangan serta anggota bomba terhadap sebarang kemungkinan melibatkan kereta api,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.