|
Pokok besar yang tumbang ini berusia lebih 20 tahun. Foto: Sinar Harian |
|
Tan Yit Ming maut serta merta ditimpa pokok yang tumbang akibat angin kencang |
IPOH - Seorang pemandu jentera berat maut selepas motosikal ditungganginya dihempap sebatang pokok besar yang berusia lebih 20 tahun dalam kejadian yang berlaku di Lorong 10, Kampung Bercham, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa, Tan Yit Ming, 48, yang sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut serta merta selepas ditimpa pokok dipercayai tumbang akibat angin kencang.
Penduduk yang dikenali sebagai Leong, 35, berkata, insiden tersebut berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan berkenaan.
“Sewaktu kejadian, saya sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di luar rumah.
“Selepas itu, saya segera keluar untuk melihat apa yang berlaku dan alangkah terkejutnya saya apabila melihat seorang lelaki dihempap sebatang pokok tumbang di atas jalan berhampiran rumah saya.
“Berikutan itu, saya segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
Isteri mangsa, Gao Yu Li, 35, seorang warga China yang bekerja di sebuah pusat kecantikan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari premis tempat dia bekerja.
Yu Li yang mengandung empat bulan tidak dapat menahan sedih dan hampir pengsan sebaik melihat mayat suaminya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.07 petang sebelum tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian dan operasi membersihkan pokok itu selesai setengah jam kemudian. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.