|
Di saat warga tempatan takut-takut dan masih malu-malu hendak berniaga, warga asing ini pula sebaliknya. Foto: Sinar Harian |
|
Seorang wanita Myanmar bersama bayinya turut ditahan dalam operasi bersepadu, semalam. Foto: Sinar Harian |
|
Anggota Penguatkuasa MDHS bertungkus-lumus mengangkut barangan yang disita ke dalam lori. Foto: Sinar Harian |
BUKIT SENTOSA - Lima wanita warga asing termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan berasal dari Myanmar dan Nepal antara yang ditahan dalam operasi menyita peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di dua premis di sini, semalam.
Mereka yang ditahan berusia antara 22, 28 dan 35 tahun dan merupakan pekerja kedai makan dan kedai runcit yang beroperasi secara haram di kawasan perniagaan Jalan Orkid dan memasuki serta tinggal di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah sejak lebih dua tahun lalu.
Pegawai Imigresen Tinggi, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Asmawi Safuan Mustapha berkata, kesemua wanita tersebut ditahan di dua lokasi atau premis berbeza.
“Lokasi pertama, kita menahan tiga wanita bersama seorang kanak-kanak warga Myanmar kerana mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Lokasi kedua, seorang lagi wanita warga Nepal ditahan juga kerana tiada dokumen asal dan salinan pasport yang diberikan telah tamat tempoh,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyertai operasi bersepadu yang diketuai Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor (PKDHS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seramai lima pegawai dan anggota JIM, 29 penguatkuasa MDHS, tiga PDRM, tiga PKDHS dan tiga anggota SPRM menyertai operasi itu yang bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa MDHS, Khairul Nizam Mohamed Khanafi berkata, pihaknya menyita semua barangan dan peralatan yang digunakan di tingkat satu unit kedai tersebut.
Menurutnya, tindakan itu diambil setelah didapati melakukan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen MDHS.
“Mereka didapati menjalankan perniagaan kedai makan dan runcit serta terdapat aduan mengenai penjualan minuman beralkohol,” katanya.
Beliau berkata, pengusaha kedai makan di premis pertama yang diserbu di Jalan Orkid pernah mengemukakan permohonan lesen pada awal 2012 tetapi tidak diluluskan kerana beberapa faktor.
Bagaimanapun, pengusahanya ingkar dan tetap menjalankan perniagaan makanan dan runcit.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kedai makan yang diusahakan khusus untuk warga Myanmar yang kebanyakannya bekerja kilang di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.
Namun, terdapat dakwaan perniagaan makanan mereka kotor dan jualan minuman arak dilakukan secara terbuka.
Malah, tinjauan turut mendapati hampir kesemua barangan runcit termasuk ubat-ubatan yang dijual adalah produk negara Myanmar.
Seorang wanita, Tha Zar Lin, 35, berkata, dia dan seorang lagi rakannya, Zar Li Mau, 22, serta bayinya tidak diketahui namanya, baru memasuki negara ini empat bulan lalu.
Menurutnya, mereka datang ke negara ini untuk bekerja dan tidak tahu undang-undang Malaysia.
Sementara itu, wanita warga Nepal, Sitamayaguru, 28, sudah lebih dua tahun tinggal di kawasan ini dan tahu bertutur dan faham bahasa Melayu.
Peniaga restoran tempatan yang ditemui melahirkan kebimbangan dengan kehadiran warga asing berniaga di kawasan itu.
Lee Moh Hooi, 41, berkata, mereka bimbang kerana pernah berlaku pergaduhan dalam kalangan warga asing setelah mabuk meminum minuman keras.
“Lagi pun, kami susah kalau mereka berniaga begini. Kalau mereka dapat lesen lagi susah sebab ada peniaga Bumiputera yang susah dapat lesen,” katanya.
Seorang peniaga ayam di Pasar Pagi berdepan dengan premis tersebut yang dikenali Kak Ilah, 43, berkata, dia sendiri tidak tahu ada peniaga warga asing berniaga di tingkat satu bangunan tersebut.
“Terkejutlah. Kita juga bimbang kerana mereka ini agresif sehingga pernah berlaku insiden pergaduhan sehingga lelaki Myanmar parah disembelih di belakang pasar,” katanya.
Pemandu teksi, VN Rajandran, 58, yang ditemui ketika serbuan dibuat di premis kedua mengakui dia menyewakan teksinya kepada peniaga makanan untuk menghantar makanan ke kilang-kilang.
“Sudah dua bulan lebih saya sewakan teksi sebab kadang kala mereka tiada kenderaan untuk hantar makanan.
“Mereka perlukan saya selepas kedai mereka diserbu penguatkuasa JKDHS pada 7 April lalu,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.