|
Pelajar bersama ahli keluarga Ustazah Normah baca surah Yasin di sisi jenazah, semalam. Foto: myMetro |
KUALA TERENGGANU - Seorang ustazah maut, manakala dua anak perempuannya berusia empat dan lapan tahun parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kampung Banggul Chempedak, di sini, semalam.
Dalam nahas jam 3 petang, Normah Ahmad, 45, dari Kampung Kuala Bekah, Pulau Musang, di sini, dalam perjalanan menjemput anak lelakinya Mohd Shukri Rosdi, 17, yang belajar di Sekolah Agama Ribath Sheikh Abdul Malik, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Mangsa, yang juga tenaga pengajar sekolah itu dikatakan cedera parah di kepala dan dada, dipercayai terhentak pada stereng apabila kereta PROTON Wira yang dipandunya merempuh sebatang pokok berhampiran tempat kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya ke sekolah itu dan sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian depan kenderaan mangsa remuk dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anaknya, Fatimah Damia empat tahun serta Elma Sufiah, lapan tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini,” kata seorang saksi kejadian.
Suasana tempat kemalangan pilu apabila beberapa murid mangsa yang mengetahui kejadian itu meratapi pemergian guru mereka sambil membaca surah Yasin di sisi mayat di tepi jalan tempat kejadian.
Lebih memilukan apabila mayat ustazah terbabit yang berada lebih satu jam di tempat kejadian terpaksa dibawa ke Unit Forensik HSNZ menggunakan trak pikap milik orang awam. - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.