Sebuah bas terjunam ke dalam gaung di Kilometer 70, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Ladang Sungai Jernih. Foto: NST |
Kejadian berlaku jam 4.30 petang selepas bas menuruni kawasan bukit di tempat kejadian. Foto: NST |
Bas malang ini yang membawa 40 penumpang semasa nahas berlaku. Foto: NST |
“Bas berpusing beberapa kali ketika terhumban ke dalam gaung. Dalam keadaan cemas, saya hanya mampu menjerit,” kata penumpang bas persiaran dua tingkat yang hanya mahu dikenali sebagai Karthiksn, 27, yang cedera apabila kenderaan itu terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 70, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Ladang Sungai Jernih, dekat sini, semalam.
Kejadian jam 4.30 petang yang mengorbankan seorang pelancong warga United Kingdom, Harry Christopher Woolhouse, 32, itu berlaku apabila bas berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam gaung ketika tiba di lokasi berkenaan.
Difahamkan, bas yang membawa 40 penumpang dari United Kingdom, Perancis, Cina, India dan Singapura termasuk dua pemandu itu, dalam perjalanan dari Pulau Redang, Terengganu ke Singapura.
Karthiksn yang berasal dari Madurai, India, berkata, bas berkenaan dipandu secara perlahan sebelum tiba-tiba tergelincir sebaik tiba di tempat kejadian sebelum terjatuh ke dalam gaung yang dipenuhi kelapa sawit.
“Berderau darah saya, ketika itu sudah terbayang maut, namun saya bersama penumpang lain yang duduk di tingkat atas dapat keluar melalui cermin bas yang pecah,” katanya.
Dia yang bekerja di sebuah syarikat perisian di Singapura berkata, semua penumpang bercuti di Pulau Redang selama tiga hari dua malam sejak Khamis lalu dan dijangka tiba di Singapura tengah malam tadi.
Rakannya, S Balaji, 29, berkata, ketika kejadian dia tidur dan tersedar apabila bas berkenaan bergoyang sebelum terhumban ke dalam gaung.
Mangsa yang bekerja di Singapura berkata, keadaan ketika itu kelam-kabut dengan jeritan penumpang yang cuba menyelamatkan diri dengan keluar melalui cermin bas yang pecah.
“Saya sudah empat tahun bekerja di Singapura dan sudah menjadi kelaziman, saya gemar melancong dan kali ini membawa rakan senegara dari Madurai, India.
“Sedar-sedar, bas sudah jatuh ke dalam gaung.
Saya tidak menyangka memori indah bercuti di pulau peranginan terkenal itu berakhir dengan tragedi ini,” katanya.
Pemandu bas yang hanya mahu dikenali sebagai Along pula berkata, kejadian berlaku begitu pantas apabila dia hilang kawalan selepas bas menuruni kawasan bukit di tempat kejadian.
Menurutnya, ini menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terhumban dari tebing jalan ke dalam gaung di kiri jalan raya itu.
Sementara itu, jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Luqman Hakim Zubir, antara orang pertama tiba di tempat kejadian jam 4.45 petang berkata, dia melihat cermin tingkap bas itu pecah dan mayat seorang penumpang lima meter dari bas itu.
“Beberapa penumpang yang cedera berada di luar bas.
Keadaan amat kecoh dan beberapa penunggang motosikal berhenti membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap sebelum ambulans tiba tidak lama kemudian,” katanya. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.