Seorang operator kren maut apabila kren yang dipandunya jatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di Ara Damansara. Foto: The Star |
Mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Johor, maut selepas terjatuh bersama kren yang patah. Foto: NST |
Semua kerja di tapak pembinaan kini dihentikan sehingga selesai siasatan terhadap insiden itu. Foto: NST |
Anggota pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian. Foto: The Star |
KUALA LUMPUR - Seorang pengendali kren maut apabila kren yang dipandunya jatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di tapak pembinaan di Ara Damansara, di sini pagi tadi.
Mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Johor, maut selepas terjatuh bersama kren yang patah kira-kira pukul 9 pagi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.01 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.
"Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya bergegas ke tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, semasa ditemui di lokasi kejadian seorang pekerja warga Pakistan dikenali sebagai Ali, 34, berkata beliau berada di tingkat bawah tanah bangunan terbabit ketika kejadian berlaku dan hanya menyedari selepas mendengar jeritan orang ramai.
"Saya dengar ramai orang jerit supaya lari dan keadaan menjadi kecoh sebelum melihat kren terbabit jatuh ke tanah," katanya yang baru tiga bulan bekerja di tapak pembinaan terbabit.
Kes disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, Sime Darby Property Berhad dalam satu kenyataan berkata semua kerja di tapak pembinaan berkenaan kini dihentikan sehingga selesai siasatan terhadap insiden itu.
Ia berkata insiden berlaku di tapak pembinaan Oasis Corporate Park di Ara Damansara pada kira-kira 8.45 pagi.
Ini adalah projek pembangunan di bawah Sime Darby Brunsfield Holdings, usaha sama antara Sime Darby Property Berhad dan Brunsfield Metropolitan Sdn Bhd, kata syarikat itu.
"Kami memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkenaan, termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memudahkan siasatan.
"Sime Darby Brunsfield Holding kini melakukan segala daya dalam menyiasat insiden ini dengan segera dan menyeluruh," kata kenyataan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.