Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 22 April 2014

Pipi Ditembusi Besi Penutup Longkang

Meskipun pipinya ditembusi besi namun Huguan Isaac tidak menangis. Foto: NST

Huguan kemudian dihantar ke hospital bersama dengan besi berkenaan. Foto: NST

Huguan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS)



KOTA KINABALU - Meskipun pipi kanannya ditembusi besi penutup longkang yang terjungkit sebaik dipijak, namun murid tahun empat Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart, Huguan Isaac, 10, tetap tidak menitiskan air mata meskipun menahan kesakitan ketika sepasukan anggota penyelamat mengeluarkan besi terbabit. 
Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari di luar sekolah berkenaan, mangsa dikatakan bermain bersama rakannya sebaik selesai sesi persekolahan sebelum seorang daripada mereka terpijak penutup longkang berjalur besi menyebabkan satu batang besi terjungkit. 
Pada masa sama, mangsa dikatakan sedang melintasi longkang berkenaan sebelum besi sepanjang lebih satu meter itu tertusuk menembusi pipinya. 
Keadaan itu menyebabkan murid yang melihat kejadian berkenaan menjerit ketakutan sebelum beberapa ibu bapa yang kebetulan berada di situ memaklumkan kepada pihak sekolah. 
Difahamkan, mangsa yang masih terkejut kemudian duduk dengan perlahan-lahan sementara menanti bantuan. 
Saksi dikenali sebagai Kasim, 43, berkata, mangsa tidak berganjak dari longkang berkenaan sebaik batang besi tertusuk pada pipinya. 
“Dia juga kelihatan tenang dan tidak menitiskan air mata walaupun keadaannya sangat mengerikan. 
“Ketika kejadian, mangsa dikatakan menunggu bas dan bermain bersama rakannya,” katanya. 
Menurutnya, sepasukan anggota bomba yang tiba beberapa minit kemudian cuba mengeluarkan besi berkenaan, namun gagal. 
“Bomba kemudian bertindak memotong besi berkenaan dan mangsa dihantar ke hospital dengan keadaan besi yang tertusuk pada pipinya,” katanya. 
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di sini, untuk mengeluarkan besi berkenaan. 
“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu yang tiba di tempat kejadian berusaha mengeluarkan besi berkenaan, namun mereka kemudian mengambil keputusan membawa mangsa ke hospital,” katanya. 
Jauteh berkata, mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I sebelum dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di sini, bagi menjalani pembedahan mengeluarkan besi berkenaan. 
Sementara itu, Pengarah HWKKS Dr Tan Bee Hwai berkata, pihaknya mengambil masa 35 minit untuk mengeluarkan besi yang menusuk pipi mangsa. 
“Besi terbabit dikeluarkan pada jam 4.30 petang yang dilakukan oleh pakar bedah kanak-kanak. 
“Keadaan mangsa stabil dan masih dirawat di wad hospital,” katanya. 
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip berkata, pihaknya mengarahkan semua pengurusan sekolah melakukan pemeriksaan di lokasi berisiko sama ada di luar atau dalam sekolah. 
“Pemeriksaan ini membabitkan seluruh sekolah rendah dan menengah bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa selamat. 
“Saya terkejut dengan insiden yang berlaku dan mahu semua pengurusan sekolah melakukan pemeriksaan jika terdapat lokasi yang membahayakan pelajar,” katanya, semalam. - myMetro

Mama Jangan Menangis

Penguasa Kanan Bomba 1, Mohammad Zahar Abdullah melawat Huguan. Foto: myMetro


KOTA KINABALU - "Lain kali mama (ibu) jangan nangis lagi, mama tahu saya kuat kan, ” kata Huguan Isaac, 10, murid Tahun Empat yang pipinya tertusuk besi penutup parit sepanjang satu meter kepada ibunya, semalam. 
Kata-kata itu diungkapkan murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart di sini, sebaik sedar selepas menjalani pembedahan apabila melihat ibunya menitiskan air mata, pagi semalam.  
Huguan yang masih dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, kelihatan lemah dengan kesan luka di bawah bibir serta pipi kanannya bengkak, namun masih mampu bercakap.  
Ketika ditemui di wad kanak-kanak hospital itu, ibu Huguan, 40-an, yang enggan namanya disiarkan berkata, sebaik anak bongsu daripada dua beradik itu terjaga selepas semalaman tidur susulan pembedahan mengeluarkan besi berkenaan, beliau menangis sebelum berkata kepada anaknya: “Kau tahu mama menangis sangat teruk.” 
Wanita itu berkata, melihat keadaan itu, anaknya memujuk supaya tidak lagi menangis kerana beliau seorang yang kuat. 
“Huguan tidak menangis sejak kejadian itu semalam (kelmarin). Sejak dulu, beliau memang jarang menangis... ibu mana yang tidak sedih melihat keadaannya, ” katanya. 
Difahamkan, Huguan yang menerima 10 jahitan di pipi belum dibenarkan keluar hospital kerana masih dalam pemantauan rapi oleh doktor. - Berita Harian/23.04.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.