Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 22 April 2014

Remaja Lelaki Mati Terikat

Seorang remaja lelaki ditemui mati dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat pada kerusi. Foto: myMetro

Anggota polis mengusung mayat mangsa yang ditemui mati di tingkat satu di sebuah rumah kedai. Foto: NST

Anggota forensik menyiasat rumah kedai kosong, tempat mayat remaja ditemui. Foto: NST


MELAKA - Seorang remaja lelaki ditemui mati dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat pada kerusi di tingkat satu sebuah rumah kedai di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini, semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mayat mangsa yang berbaju-T dan berseluar jean ditemui sepasang suami isteri ketika meninjau lot kedai dua tingkat terbabit yang ingin mereka beli. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, tangan dan kaki mangsa diikat pada kerusi yang jatuh di lantai dan mulut ditampal dengan pita pelekat. 
“Bagaimanapun tiada kesan darah, kecederaan kasar atau tikaman ditemui pada tubuhnya. 
“Mangsa dipercayai berbangsa India, namun identitinya belum dikenal pasti dan kita akan membuat semakan dengan semua balai polis sama ada terdapat laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan,” katanya. 
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui di lokasi berkenaan, semalam. 
Hadir sama, Timbalanya Superintendan PR Gunarajan. 
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada remaja berkenaan berkemungkinan menjadi mangsa culik. 
“Kita akan siasat bagaimana mangsa boleh berada di sini dan diikat. 
Kami juga menunggu laporan bedah siasat. 
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. 
Saksi dikenali sebagai Yong, 68, berkata, dia mengetahui kejadian selepas dimaklumkan pasangan berusia 40-an terbabit yang terkejut melihat mayat mangsa di dalam premis berkenaan. 
“Pasangan berkenaan berlari turun dan memaklumkan kepada saya terdapat seorang remaja lelaki tidur di premis itu. 
Saya yang masuk ke premis berkenaan kemudiannya terkejut nampak mangsa dalam keadaan teikat pada kerusi selain mulutnya ditutup dengan pita pelekat,” katanya. - myMetro

Suspek Ditahan Polis

Suspek lelaki berusia 49 tahun ditahan polis berhubung kes penemuan mayat remaja mati terikat

MELAKA - Seorang penganggur ditahan polis berhubung kes penemuan mayat seorang remaja dalam keadaan kedua-dua kaki dan tangannya terikat pada kerusi di sebuah premis kosong di Taman Merdeka Jaya di sini semalam.  
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata suspek lelaki berusia 49 tahun itu dicekup di hadapan sebuah hotel di Durian Tunggal di sini pada 10 malam tadi dan ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.  
Beliau berkata, suspek dipercayai menculik M Gunaseelan, 13, dengan mengumpan mangsa bermain permainan video secara percuma di sebuah premis kosong di Taman Merdeka Jaya di sini, kira-kira 3 petang Ahad lalu.  
"Mangsa kemudian diikat pada kerusi sebaik tiba di premis kosong itu sebelum ditinggal keseorangan manakala suspek menelefon ibu mangsa kira-kira 6 petang Ahad memberitahu anaknya telah diculik dan meminta wang tebusan berjumlah RM20,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.  
Katanya, keluarga mangsa kemudian membuat laporan sebelum pihak polis menubuhkan unit siasatan dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengesan penculik sebelum berjaya menahan suspek di hadapan hotel itu.  
Chuah berkata, polis turut merampas tiga telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi urusan penculikan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Batu Berendam itu. 
Katanya, polis kemudian dibawa suspek ke lokasi kejadian kira-kira 11 malam Isnin dan hasil siasatan, lelaki terbabit mengaku melakukan penculikan itu kerana menghadapi masalah kewangan.  
"Punca kematian belum dapat dipastikan sehingga laporan bedah siasat diperoleh dan kita juga tidak dapat pastikan sama ada mangsa telah mati ketika ditinggalkan," katanya. 
Mayat Gunaseelan ditemui orang awam yang sedang mencari pejabat untuk disewa di tingkat satu premis terbabit kira-kira 7 malam tadi.  
Sementara itu, bapa mangsa, D D Murugan, 52, dari Taman Merdeka Jaya di sini ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka berkata kali terakhir dia melihat anaknya ialah kira-kira 8 pagi Ahad lalu sebelum keluar ke pasar untuk membeli barangan keperluan.  
"Saya pesan kepada dia jangan keluar rumah, nanti saya balik bawa sarapan pagi," kata pekerja kontrak itu.  
Bagaimanapun, katanya, dia mendapati Gunaseelan tiada di rumah selepas pulang dari pasar sejam kemudian dan menyangkakan anak bongsu daripada tiga beradik itu pergi ke kafe siber berhampiran seperti kebiasaannya.  
Katanya, isterinya, A A Letchumy, 44, kemudian menerima panggilan daripada orang tidak dikenali mengatakan anaknya diculik selain meminta wang tebusan berjumlah RM20,000.  
Murugan berkata, dia kemudian membuat laporan polis sebelum mengikut arahan penculik terbabit bagi menyerahkan wang tebusan di sekitar Banda Hilir di sini kira-kira 11 malam hari sama.  
"Orang itu (penculik) telefon beritahu dia tahu polis tengah ikut, nak perangkap dia...dia cakap saya tidak akan jumpa anak saya lagi," katanya.  
Katanya, dia dimaklumkan polis mengenai penemuan mayat anaknya kira-kira 11.30 malam tadi. - BERNAMA

Reaksi Ibu

Letchumy diberi minuman dan ditenangkan ahli keluarga. Gambar kecil, SMS yang diterima daripada penculik anaknya


MELAKA - Seorang ibu tidak menyangka khidmat pesanan ringkas (SMS) ‘Selamat jalan’ dan ‘Lagi satu kali tak SMS. Awak boleh sembahyang untuk anak’ yang diterimanya, kelmarin membawa petanda anak bongsunya mati dibunuh selepas diculik lelaki tidak dikenali. 
SMS itu diterima A Letchumy, 44, ibu kepada M Gunaseelan, 13, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir yang ditemui mati dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat pada kerusi di tingkat satu sebuah rumah kedai di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini, kelmarin.  
Bapa mangsa D Murugan, 52, berkata, mereka hanya mengetahui Gunaseelan diculik selepas isterinya menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengaku menculik mangsa dan menuntut wang tebusan RM20,000 kira-kira jam 7 malam, Ahad lalu. 
“Pada pagi hari kejadian saya keluar ke pasar borong untuk membeli sarapan dan lauk, namun sebaik pulang Gunaseelan sudah tiada di rumah. Apabila sehingga petang dia tidak pulang kami menyangkakan dia ke kafe siber berhampiran. 
“Namun, sejurus selepas isteri menerima panggilan telefon itu, bimbang dengan keselamatannya kami mencarinya di kawasan sekitar sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam. - myMetro/23.04.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.