Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 7 April 2014

Dilarang Guna Haruman Di Pangsapuri Baru

Sebuah pangsapuri yang baru dibuka di pinggir Zurich memperkenalkan larangan tertentu kepada penghuninya. Foto: AFP

Larangan merokok, memakai haruman dan menggunakan telefon bimbit adalah sebahagian daripada larangan itu. Foto: AFP


LEIMBACH - Larangan merokok, memakai haruman, menggunakan telefon bimbit cuma beberapa daripada senarai peraturan di sebuah bangunan pangsapuri baru dibuka di pinggir Zurich.  
Semuanya kerana satu alasan: struktur itu dibina semata-mata untuk penduduk yang berkata pendedahan setiap hari kepada produk seperti pewangi, losyen tangan atau peranti tanpa wayar menjadikan mereka sakit sehingga tidak dapat bekerja.  
Saya menderita masalah ini sejak kecil. Ini akan benar-benar menggerakkan kehidupan saya ke satu arah lain, kata Christian Schifferle, 59, yang menjadi ketua Yayasan Hidup dan Kehidupan Sihat (www.stiftung-glw.com), penggerak utama di sebalik projek itu.  
Schifferle dan penduduk lain menderita penyakit Sensitiviti Kimia Pelbagai (MCS), keadaan kronik yang tidak diiktiraf secara meluas oleh komuniti perubatan. Mereka yang terbabit percaya ia dicetuskan akibat pendedahan paras rendah kepada kimia dalam benda seperti asap rokok, racun serangga, produk pewangi dan cat.  
Dua belas daripada 15 pangsapuri di bangunan di Leimbach, di pinggir bandar raya kedua terbesar Switzerland itu, sudah disewa sejak dibuka pada Disember lalu.  
Ramai penyewa juga menderita masalah hipersensitif elektromagnetik, yang menyaksikan sirkit elektrik dan radiasi daripada peralatan tanpa wayar membuatkan mereka sakit.  
Ia menjadikan saya lemah, bimbang, tidak dapat bernafas, paru-paru sakit dan pening, kata Schifferle, yang mengalami masalah kesihatan itu.  
Walaupun tinggal dalam bangunan itu tidak akan menyembuhkan Schifferle atau orang lain, ia bertujuan menjadikan kehidupan seharian lebih selesa bagi penduduk yang keadaan itu membuatkan mereka kerap terpinggir dan tidak dapat bekerja.  
Schifferle, yang mula berasa sakit akibat asap di kilang perabot ibu bapanya ketika berusia tiga atau empat tahun, menghabiskan kebanyakan kehidupan dewasa dalam treler di Swiss Alps.  
Dia menjalani kehidupan seperti itu sehingga berusia 35 tahun dan selepas menemui buku mengenai MCS, barulah Schifferle menyedari beliau tidak keseorangan tetapi sehingga seabad kemudian baru menemui doktor yang memandang serius keadaannya.  
Sepanjang hidup, saya cuma berasa hidup separuh daripadanya, katanya.  
Bangunan berkenaan yang pertama seumpamanya di Eropah, menurut pegawai di Zurich yang memutuskan menjadi penaung dalam membantu penduduk dengan apa yang mereka gelar masalah amat membahayakan. - AFP/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.