Hoosni (kiri) dan Rukinah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas digigit dua ekor anjing. Foto: Berita Harian |
Pegawai Veterinar mengambil otak anjing untuk uji kaji. Gambar kecil, anggota forensik menjalankan siasatan. Foto: myMetro |
Salah satu baka anjing American Bulldog. Foto: Wikipedia |
SEREMBAN - Tiga cedera, termasuk seorang anggota polis, selepas diserang dua ekor anjing yang dibela untuk mengawal ladang cili di Kampung Masjid, Lenggeng, di sini, semalam.
Pembantu rumah rakyat Indonesia, Rukinah Juandi, 51, terkoyak kulit kepala, cedera di badan dan patah tangan kiri.
Dua lagi mangsa, penjual nasi lemak, Hoosni Anuar Hamid, 44, cedera di tangan dan muka dan anggota polis, Lans Koperal Naser Sulaiman digigit anjing baka American Bull itu di kaki dalam kejadian jam 7.50 pagi.
Rukinah berkata, dia pulang dari membeli nasi lemak di gerai Hoosni kira-kira 50 meter dari rumah majikannya dan membersihkan najis anjing di halaman apabila tiba-tiba diserang dua ekor anjing.
Tidak berdaya
“Saya melarikan diri ke tepi luar rumah kerana tidak mahu anjing kejar dan menyerang ibu majikan berusia 80 tahun dalam rumah. Walaupun dipukul dengan paip getah, anjing tidak melepaskan gigitan hingga saya terjatuh. Ketika inilah, kulit kepala digigit hingga terkoyak.
“Ketika tidak berdaya dan hanya mampu menjerit, Hoosni datang dengan kereta lalu membunyikan hon menyebabkan haiwan itu terkejut dan melarikan diri ke dalam kebun,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, semalam.
Sementara itu, Hoosni berkata, sebaik anjing itu lari, dia bergegas ke Balai Polis Lenggeng untuk melaporkan kejadian itu dan kemudian ke Klinik Kesihatan Lenggeng untuk meminta bantuan ambulans membawa Rukinah ke HTJS.
Bagaimanapun, dia terkejut kerana selepas pulang ke gerainya jam 8.20 pagi, dua ekor anjing itu datang ke situ.
“Saya cuba halau haiwan itu kerana bimbang menyerang isteri dan anak berusia empat tahun, tetapi anjing itu menyerang saya dengan menggigit dan mencakar tangan serta muka.
“Nasib baik seorang anggota polis yang kebetulan lalu di situ, membaling batu dan kayu. Malangnya, dia pula digigit pada kaki, tetapi bantuannya menyebabkan anjing itu melarikan diri,” katanya.
Anggota Balai Polis Lenggeng, Lans Koperal Naser Sulaiman, kemudian mendapatkan senapang patah dan mencari anjing terbabit yang ditemui menyalak depan rumah majikan Rukinah yang ketika itu hanya ada ibu majikannya.
Empat tembakan
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning, berkata Naser terpaksa melepaskan empat tembakan menyebabkan kedua-dua ekor anjing itu mati di tempat kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, iaitu kecuaian berkaitan haiwan dan polis akan menahan pemilik dua ekor anjing itu yang dipercayai turut membela lapan ekor anjing lain bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Azman Shah Abd Manap, berkata pihaknya menghantar sampel otak anjing terbabit ke makmal Institut Penyelidikan Haiwan di Ipoh untuk mengkaji kemungkinan anjing terbabit mempunyai penyakit anjing gila.
Azman turut mengesahkan pemilik anjing terbabit tidak mempunyai lesen membela semua anjingnya termasuk dua ekor yang ditembak. - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.