Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 25 April 2014

Satu Keluarga Tinggal Dalam Kenderaan Rekreasi

Manayi (tengah) dari JKM berbincang dengan Shukor ketika meninjau keluarga itu, semalam. Foto: myMetro

Menjadikan kenderaan rekreasi (RV) sebagai tempat tinggal adalah gaya hidup biasa di AS dan Eropah. Foto: Wikipedia


JOHOR BAHRU - ‘Kenderaanku syurgaku’. Begitulah kehidupan enam beranak yang menjadikan sebuah kenderaan rekreasi (RV) sebagai tempat tinggal mereka sejak hampir sebulan lalu di Jalan Ceria 19, Taman Nusa Idaman di sini. 
Mereka mula menjadikan kenderaan itu sebagai tempat tinggal bukan kerana meniru gaya hidup Barat, sebaliknya terpaksa berbuat demikian apabila diminta mengosongkan rumah sewa berikutan menghadapi kesulitan membayar sewa pada bulan lalu. 
Berikutan itu, kenderaan berkenaan kini menjadi tempat berteduh Shukor Abdullah, 51, dan isteri Halela Rahim, 40, bersama empat anak mereka iaitu Norlela, 17; Rafiee, 16; Fadzilah, 14, dan Norhazlinda, 12. 
Shukor berkata, kenderaan bernombor pendaftaran BFY5228 itu dilengkapi dengan kemudahan ruang berehat, tidur, dapur serta tandas. 
Menurutnya, dia dan ahli keluarganya menyesuaikan diri untuk meneruskan kehidupan dalam kenderaan itu kerana ia masih sesuatu yang luar biasa bagi masyarakat di negara ini. 
“Saya membeli kenderaan ini beberapa tahun lalu ketika bekerja sebagai kontraktor dengan tujuan membawa ahli keluarga berkelah kerana ia mempunyai ruang agak besar. 
“Namun, sejak bekerja sebagai pemandu lori, dengan pendapatan RM1,500 menyebabkan saya menghadapi kesulitan membayar sewa rumah pada tahun lalu menyebabkan kami terpaksa mengosongkan rumah sewa yang terletak di sekitar kawasan ini. 
“Berikutan tiada pilihan, saya memindahkan barangan termasuk televisyen, barangan elektrik selain tilam ke kenderaan ini dan meminta isteri dan anak tinggal di sini,” katanya. 
Katanya, bagi memudahkannya serta anak yang masih belajar, dia membuat penyambungan elektrik daripada sebuah bangunan rumah kedai berhampiran bagi membolehkan mereka menggunakan kemudahan seperti kipas, televisyen serta lampu di dalam kenderaan itu. 
Menurutnya, kenderaan itu juga memiliki kemudahan WiFi bagi memudahkan anak menggunakan komputer riba untuk mentelaah pelajaran. 
“Sebelum ini, kami hidup senang, tetapi kini saya tiada pilihan dan memindahkan keluarga ke kenderaan ini buat sementara waktu dan saya berharap mendapat tempat tinggal lebih sesuai dan selesa pada masa depan. 
“Jika mahu menyewa rumah, kami diminta menyediakan deposit selama tiga bulan dan pada masa ini saya memang tidak mempunyai wang mencukupi,” katanya. 
Shukor berkata, keluarganya berharap ada pihak tampil membantu meringankan beban mereka. 
“Biarpun sibuk bekerja, saya kerap meninjau keadaan anak kerana bimbangkan keselamatan mereka di dalam kenderaan ini,” katanya, semalam. 
Sementara itu, Norlela berkata, dia dan adik-beradiknya sering membeli makanan di luar memandangkan ibu mereka menghadapi kesulitan untuk memasak di dapur dalam kenderaan berkenaan. 
“Harapan saya supaya kami sekeluarga dapat berpindah ke tempat tinggal lebih selesa,” katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.