Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 30 Januari 2014

Myvy Jatuh Terjunam Dari Tingkat Empat

Perodua Myvi terjatuh dari tingkat empat bangunan Star City, di Asia City pagi tadi. Foto: Kosmo!

Pemandu kereta malang ini dilaporkan cedera parah

Mangsa dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut

Bahagian hadapan Perodua Myvy ini remuk teruk



KOTA KINABALU - Seorang lelaki parah apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh dinding konkrit sebelum terjatuh dari tingkat empat bangunan letak kereta di sebuah pusat beli belah di Kompleks Asia City, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi tadi. 
Mangsa berusia 50-an ditemui dalam keadaan tersepit namun berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Kinabalu sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan. 
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - myMetro

Penduduk China Dilarang Bakar Mercun

Penduduk China dan etnik keturunan Cina di seluruh dunia akan merayakan Tahun Baru Kuda esok. Foto: Agencies

Bagaimanapun pihak berkuasa negara itu melarang orang ramai daripada membakar mercun dan bunga api. Foto: Agencies


BEIJING - Pihak ramalan kaji cuaca China meminta pihak berkuasa tempatan melarang orang ramai daripada membakar mercun dan bunga api ketika sambutan Tahun Baru tahun ini ekoran keadaan cuaca di tengah dan timur China minggu ini yang diramalkan berjerebu. 
Perayaan Tahun Baru bermula Jumaat, dan biasanya disambut dengan pembakaran mercun dan bunga api, sekali gus menyebabkan asap tebal di ruang udara. 
Dengan jerebu dijangka melitupi bahagian tengah dan timur China bermula hari ini, jurucakap Pentadbiran Kaji Cuaca China, Chen Zhenlin berkata, pihak berkuasa tempatan perlu mengharamkan sepenuhnya pembakaran mercun dan bunga api, demikian laporan akhbar China Daily. 
“Mercun dan bunga api boleh menyebabkan banyak gas toksid terhasil serta partikel seperti sulfur dioxida, yang akan menyebabkan pencemaran udara yang teruk,” kata Chen. 
Pihak berkuasa termasuk di Beijing, sudah meminta orang ramai supaya mengurangkan pembakaran mercun dan bunga api tahun ini untuk tidak mencemarkan udara meskipun tidak mengambil langkah menutup kedai sementara yang menjual mercun dan bunga api. - Reuters/Berita Harian

Jutawan Tulen Amerika Syarikat

Thomas J. Stanley dan William D. Danko telah membuat kajian terhadap jutawan di Amerika Syarikat selama 20 tahun

Hasil kajian mereka telah diterbitkan dalam buku The Millionaire Next Door pada tahun 1997



Satu kajian telah dijalankan oleh Thomas J. Stanley dan William D. Danko terhadap para jutawan di Amerika Syarikat. Hasil kajian yang mengambil masa selama 20 tahun itu telah diterbitkan dalam buku The Millionaire Next Door pada tahun 1997. 
Dalam kajian mereka, Stanley & Danko mendefinisikan jutawan sebagai individu yang memiliki kekayaan bersih bernilai US$1 juta (RM3 juta) atau lebih. 
Kajian ini menarik kerana Stanley & Danko telah mengenalpasti siapa yang benar-benar kaya dan siapa yang sebaliknya. 
Hasil kajian Stanley & Danko mendapati: 
1. Sebahagian besar mereka yang tinggal di rumah mahal dan memandu kereta mewah tidak semestinya benar-benar kaya atau jutawan. 
2. Tetapi mereka benar-benar kaya atau jutawan sebahagian besarnya tinggal di kawasan penempatan biasa (bukan kawasan perumahan elit). 
Kira-kira 90% para jutawan sebenar itu masih tinggal di rumah lama mereka, masih memakai kereta biasa dan masih membeli baju dan jam yang murah. 
Hasil kajian Stanley & Danko juga mendapati bahawa tidak semestinya orang yang berpendapatan tinggi memiliki kekayaan yang banyak. 
Hanya 10% di kalangan mereka yang berkenaan yang benar-benar jutawan. Selebihnya merupakan individu yang high income tapi low net wort. Dalam perkataan lain, mereka berpendapatan tinggi tetapi mempunyai simpanan yang sedikit! 
Berdasarkan kajian tersebut, mereka menyimpulkan tujuh sifat sepunya para jutawan berkenaan: 
1. Kesemua mereka hidup dibawah kemampuan; 
2. Mereka membahagikan masa, tenaga dan wang mereka dengan cekap untuk membina kekayaan; 
3. Mereka percaya kebebasan kewangan lebih penting daripada memperagakan status sosial yang tinggi; 
4. Ibubapa mereka tidak memberi bantuan kewangan; 
5. Anak-anak mereka yang dewasa mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh; 
6. Mereka cekap merebut peluang-peluang yang muncul di pasaran;
4. Mereka memilih kerjaya yang betul. 
Iktibar daripada kajian tersebut ialah: 
1. Kekayaan (wealth) bukan bergantung pada pendapatan (income), tetapi nilai bersih (net worth) atau dalam perkataan lain: kekayaan bukan berapa banyak wang yang kita dapat tapi berapa banyak wang yang dapat kita simpan. 
2. Kunci kekayaan ialah berjimat cermat dalam perbelanjaan. 
3. Setelah berjimat-cermat baru kita ada wang lebih untuk menabung. Hanya dengan menabung barulah kita menjadi kaya.  
Bukan: "kalau aku kaya, hari-hari hari raya". Kalau hari-hari hari raya, orang kaya boleh jadi papa kedana! Wallahualam.

Rabu, 29 Januari 2014

Lelaki Bakar Ibu Tunggal Dan Anak Didakwa

Mohd Afizi Abdul Rahman, 27, dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini. Foto: Berita Harian

Mohd Afizi dituduh cuba membunuh Saliza Saidin, 29, dan dua anaknya minggu lalu. Foto: myMetro

Rumah yang didiami Saliza dipercayai dibakar oleh suspek. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tiga tuduhan cubaan membunuh seorang janda dan dua anak wanita itu, minggu lalu. 
Tertuduh, Mohd Afizi Abdul Rahman, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Ahmad Bache.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh Saliza Saidin, 29, dan dua anaknya, Nur Iris Qalisya Mohd Shahril, dua tahun dan Nur Fazana, dua bulan dengan cara membakar mangsa. 
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di alamat Blok H-08-07 PPR Desa Rejang, Setapak Jaya, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 21 Januari lalu. 
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. - Berita Harian
Berita sebelum ini di sini

Jambatan Pulau Pinang Sesak Teruk Akibat Kemalangan

Jambatan Pulau Pinang dari Seberang Perai menghala ke bahagian pulau sesak teruk akibat kemalangan. Foto: Wikipedia

Kedua-dua kenderaan yang terlibat dengan kemalangan telah dialihkan oleh trak penunda. Foto: Wikipedia


BUTTERWORTH - Ratusan pengguna jalan raya yang melalui Jambatan Pulau Pinang dari Seberang Perai menghala ke bahagian pulau terperangkap dalam kesesakan teruk akibat berlaku kemalangan yang melibatkan dua buah kereta pagi tadi. 
Jurucakap Penang Bridge Sdn. Bhd. berkata, kemalangan berlaku di lorong kiri di Kilometer 4.8 pada pukul 8.15 pagi. 
"Ia tidak melibatkan kecederaan serius, bagaimanapun menyebabkan kesesakan teruk berikutan waktu puncak ketika orang ramai mahu ke tempat kerja. 
"Kami berusaha mengalihkan kenderaan terbabit bagi membolehkan lalu lintas bergerak lancar namun sikap pengguna yang memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan itu memburukkan lagi keadaan,” katanya. 
Kedua-dua kenderaan terlibat berjaya dialihkan oleh trak penunda kira-kira sejam selepas kemalangan. 
Tinjauan Bernama mendapati kesesakan berlaku dari susur masuk ke Permatang Pauh hingga tempat kejadian iaitu sejauh kira-kira 10 kilometer. - Bernama

Keluarga Diraja Britain Diminta Berjimat

Sebuah jawatankuasa parlimen meminta keluarga diraja Britain mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan

Jawatankuasa parlimen menegaskan keluarga diraja memerlukan lebih banyak wang untuk menyelenggara istana mereka

Pembaikan beberapa istana bersejarah memerlukan perbelanjaan lebih £50 juta (RM269 juta)

Estet diraja merangkumi 360 bangunan termasuk Windsor Castle (gambar), Clarence House, St James Palace dan Istana Kensington

Margaret Hodge Pengerusi jawatankuasa parlimen berkaitan


LONDON - Sebuah jawatankuasa parlimen meminta keluarga diraja Britain mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan selepas simpanan tunai institusi itu mencatat rekod paling rendah iaitu £1 juta (RM5.5 juta). 
Mengikut laporan jabatan akaun awam, keluarga diraja dicadang merancang perbelanjaan dengan lebih baik bagi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung sebarang kejadian yang tidak dijangka Ratu Elizabeth. 
Dana simpanan itu yang direkodkan sebanyak £35 juta (RM193 juta) pada 2001 berkurangan sedikit demi sedikit disebabkan perbelanjaan berlebihan. 
Pengerusi jawatankuasa itu, Margaret Hodge turut mengkritik Perbendaharaan britain kerana gagal membuat semakan terhadap perancangan dan pengurusan kewangan keluarga diraja sedangkan banyak peluang untuk membantu mereka meraih pendapatan lebih dan mengurangkan kos serta perbelanjaannya. 
Katanya, tahun kewangan lalu menunjukkan peningkatan dalam pendapatan mereka namun menganggap masih banyak yang boleh dilakukan. 
“Kami percaya pengurusan yang lebih baik mampu memastikan lebih banyak kos dikurangkan. 
“Keluarga Diraja juga perlu menangani masalah penyelenggaraan beberapa estet miliknya yang agak kurang terpelihara,” katanya. - AP/myMetro

Lantai Rumah Runtuh Ketika Jenazah Diangkat

Lantai beranda rumah ini runtuh ketika jenazah sedang diangkat melaluinya. Foto: myMetro


SANDAKAN - Empat orang cedera selepas lantai beranda sebuah rumah runtuh ketika sedang mengangkat jenazah di Kampung Karamunting dekat sini hari ini. 
Kesemua mangsa adalah lelaki berusia lingkungan 60-an dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan. 
Seorang penduduk kampung, Abdul Ghani Amat, 49, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika mereka sedang mengangkat jenazah abang sepupunya yang meninggal dunia semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Sim-Sim. 
Katanya ketika kejadian dia bersama beberapa lelaki lain yang mengangkat jenazah sudah melalui beranda rumah itu dan berada di tangga. 
"Tiba-tiba lantai beranda rumah runtuh dan mereka yang masih berdiri di atas lantai itu dianggarkan 20 orang jatuh ke tanah," katanya kepada Bernama. 
Abdul Ghani berkata empat orang mengalami luka setelah terkena serpihan kayu lantai yang patah dengan tiga daripada mereka dihantar oleh penduduk kampung ke hospital dan seorang lagi oleh ambulans. 
Lantai beranda rumah itu runtuh disebabkan tidak dapat menampung berat orang ramai yang berdiri di atas lantai dalam satu masa, katanya. - Bernama


Dipenjara Seumur Hidup Kerana Tunjuk Perasaan?

Sister Megan Rica, 83, mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup. Foto: AP

Percikan darah dan grafiti oleh Rica bersama dua rakan yang lain di dinding kilang nuklear. Foto: HuffingtonPost

Rica (tengah) bersama dua rakan seperjuangan. Foto: change


NASHVILLE - Seorang rahib berusia 83 tahun mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup semalam, selepas didapati bersalah dalam satu tunjuk perasaan dan menceroboh tempat simpanan uranium gred bom utama Amerika Syarikat. 
Sister Megan Rica adalah salah seorang daripada tiga aktivis yang didapati bersalah melakukan sabotaj tahun lalu apabila mereka menceroboh kilang senjata nuklear di Oak Ridge, Tennessee.  
Kerajaan sudah mencadangkan penjara enam sehingga sembilan tahun bagi Rica, Michael Walli dan Greg Boertie-Obed. Ketiga-tiga tertuduh memotong pagar dan mengecat slogan di dinding luar kilang pemprosesan uranium. Penunjuk perasaan juga memercikkan darah serta mengetuk dinding kilang itu. 
Mereka merayu hukuman lebih ringan dengan berkata tindakan di Kompleks Keselamatan Y-12 adalah simbolik dan bermaksud untuk menarik perhatian simpanan senjata nuklear Amerika, yang disifatkan sebagai tidak bermoral dan haram. 
“Mereka adalah golongan komited kepada usaha keamanan dan keadilan selama berdekad,” kata peguam bela, Bill Quigley. - AP/Berita Harian

Selasa, 28 Januari 2014

Jutawan Pun Masih Mahu Bekerja

Walaupun bergelar jutawan dan menempa nama sebagai penyanyi, Susan Boyle masih memerlukan pekerjaan.

Susan, 52, yang memiliki kekayaan dianggar bernilai £20 juta (RM111 juta)

Baru-baru ini Susan didapati memohon kerja sebagai juruwang separuh masa di syarikat perjudian Ladbrokes.


EDINBURGH - Walaupun bergelar jutawan dan menempa nama sebagai penyanyi, Susan Boyle masih memerlukan pekerjaan. 
Malah baru-baru ini dia didapati memohon kerja sebagai juruwang separuh masa di syarikat perjudian Ladbrokes. 
Susan, 52, yang memiliki kekayaan dianggar bernilai £20 juta (RM111 juta) memohon jawatan itu di cawangan syarikat berkenaan di Scotland. 
Penolong Pengurus David Corr berkata, mereka terkejut apabila dikunjungi Susan. 
Mereka kemudian menasihati Susan - juga dikenali sebagai SuBo - membuat permohonan secara dalam talian. 
Seorang penduduk setempat berkata, Susan benar-benar berminat untuk bekerja di situ. 
“Sudah pasti dia tidak perlukan wang. 
“Bagi saya itu mungkin satu cara untuk dia keluar dari rumahnya dan kurangkan berfikir,” katanya. 
Jurucakap Ladbrokes berkata, Susan pernah memohon bekerja di situ sebelum menjadi terkenal. 
“Mungkin ada sesuatu yang istimewa mengaitkan kami dengan juara Britain’s Got Talent kerana seorang jurinya Alesha Dixon juga pernah bekerja dengan kami sebelum terkenal!” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi/myMetro

Bila Suami Tidak Mengenang Budi

Dulu Samantha mendermakan buah pinggang kepada Adam tapi kini Adam menceraikan Samantha

Ketika saat bahagia Samantha bersama Adam pada tahun 2009

Samantha bersama anak perempuannya, Beatrice pada bulan Mei 2011


LONDON - Habis madu, sepah dibuang - begitu nasib menimpa seorang wanita selepas dia menyelamatkan nyawa suaminya dengan menderma buah pinggang. 
Samantha Lamb, 41, menawarkan buah pinggang untuk suaminya Adam, 45, yang menghidap kegagalan renal dan memerlukan dialisis untuk meneruskan hidupnya. 
Sebagai persediaan menderma buah pinggang, Samantha sanggup menahan lapar bagi membolehkan berat badannya turun 19 kilogram bagi memastikan dia sendiri cukup sihat pembedahan pada Oktober 2009. 
Pengorbanan itu kemudian menarik perhatian stesen televisyen BBC yang menerbitkan dokumentari khas mengenai cinta Samantha. 
Tidak seperti cerita cinta biasa, rumah tangga Samantha - Adam berantakan hanya beberapa tahun selepas pembedahan itu. 
Adam akhirnya meninggalkan Samantha. 
Dia mengangkut semua barangnya, termasuk televisyen dan radio sebelum meninggalkan kunci rumah di dalam peti surat ketika Samantha bekerja syif malam. 
Samantha percaya suaminya menjalin hubungan sulit dengan rakan baiknya, namun Adam berkali-kali menafikan. 
Pasangan itu - yang berkenalan ketika sama-sama menjadi pemandu ambulans - pernah berpisah seketika sebelum berkahwin pada 2007. 
Adam jatuh sakit tidak lama selepas itu dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. 
Kata Samantha, dia tidak tergamak melihat Adam lalu menawarkan buah pinggangnya. 
“Adam yang mempunyai anak hasil perkahwinan sebelum ini mahu melihat mereka membesar,” katanya. 
Menurut Samantha, dia kini menyesal membantu Adam. 
“Saya tidak menyesal melakukan pembedahan yang membantu seseorang - namun alangkah baiknya jika buah pinggang itu diberi kepada orang lebih layak. 
“Kalaulah boleh saya ambil semula buah pinggang itu dan memberinya pada orang lain,” katanya. 
Namun dia mengakui perkara itu mustahil dan kini hanya berharap proses perceraian diselesaikan secepat mungkin. 
Katanya, dia merasa sakit hati setiap kali melihat parut berukuran empat inci hasil pembedahan itu. 
“Namun sekurang-kurangnya Adam pun perlu sentiasa ingat dia berhutang nyawa dengan saya,” katanya. 
Sementara itu, Adam menafikan mengadakan hubungan dengan rakan isterinya selain menegaskan tidak pernah meminta didermakan organ berkenaan. - myMetro

Isnin, 27 Januari 2014

Hitler Lari Bersembunyi Dan Mati Di Brazil

Gambar yang didakwa sebagai bukti Hitler tinggal di sebuah bandar kecil di Brazil.

Pakaian lama yang dikatakan sebagai pakaian Hitler

Fuhrer Jerman Adolf Hitler dikatakan  'pergi ke Brazil untuk memburu harta' 

Bunker Hitler di Canselori, Berlin, di mana ramai yang percaya dia mati di sini selepas menembak dirinya sendiri 

Tanah perkhuburan di mana Hitler didakwa telah dikebumikan pada tahun 1984


BERLIN - Bekas diktator Jerman, Adolf Hitler sebelum ini dipercayai membunuh diri di sebuah kubu bawah tanah di sini tahun 1945 menjelang kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua. 
Namun, seorang penulis, Simoni Renee Guerreiro Dias dalam bukunya, Hitler in Brazil mengejutkan banyak pihak apabila dia mendakwa bekas diktator itu meninggal dunia pada tahun 1984 selepas hidup dalam penyamaran di sebuah bandar kecil dekat sempadan Brazil dengan Bolivia. 
Dias berkata, Hitler berjaya melarikan diri dari tempat persembunyiannya di sini dan menuju ke Amerika Selatan. 
Penulis berkenaan mengemukakan sekeping gambar gambar menunjukkan Hitler bersama seorang wanita kulit hitam untuk membuktikan dakwaannya. 
Melalui bukunya, Dias mencabar pendapat ramai ahli sejarah yang percaya Hitler menembak dirinya di kubu bawah tanah berkenaan pada 20 April 1945. 
Pengarang tersebut sebaliknya memberitahu, bekas pemimpin Parti Nazi itu melarikan diri ke Argentina dan kemudian ke Paraguay sebelum menetap di Mato Grosso, Brazil. 
Menurutnya, Hitler kemudian menetap di sebuah bandar kecil, Nossa Senhora do Livramento bersama seorang teman wanita. 
Menurut Dias, Hitler sengaja memilih wanita kulit hitam sebagai kekasih bertujuan untuk mengelirukan musuh-musuhnya. 
Sebelum ini, bekas diktator tersebut terkenal kerana membenci bangsa Yahudi dan kulit hitam tetapi memuliakan bangsa Aryan. 
Dias merancang untuk menjalankan ujian DNA dengan menggunakan seorang saudara Hitler yang tinggal di Israel setelah diberi kebenaran untuk menggali kubur Adolf Hitler yang didakwa ditanam di Nossa Senhora do Livramento bagi membuktikan dakwaannya. - Agensi/Kosmo! Online

Jumaat, 24 Januari 2014

China Jalankan Latihan Misil Jarak Jauh

Tentera China menguji tembakan peluru berpandu Dongfeng-31 yang mampu menjejaki Amerika Syarikat. Foto: SCMP

Tentera China mengenakan pakaian pelindung, menunjukkan peluru berpandu itu dilengkapi peledak. Foto: SCMP


BEIJING - Tentera China semalam menyiarkan gambar latihan peluru berpandu balistik antara benua dengan jarak yang mampu menjejaki Amerika Syarikat. 
Langkah menyiarkan gambar itu dibuat ketika Beijing terbabit dengan beberapa perbalahan dengan Washington. 
Gambar tentera China menguji tembakan peluru berpandu Dongfeng-31 yang dikatakan pakar mampu membawa peledak nuklear sejauh 8,000 kilometer, disiarkan akhbar harian Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) semalam. 
Satu lagi gambar menunjukkan tentera mengenakan pakaian pelindung, membuktikan peluru berpandu yang dilancarkan itu dilengkapi peledak, disiarkan di satu portal berita Sohu.com melaporkan, ini kali pertama imej latihan ketenteraan sedemikian didedahkan. 
Gambar itu bagaimanapun tidak ditemui di laman web PLA. China terbabit dalam perbalahan dengan jirannya di Laut China Selatan dan saling bertegang urat dengan Jepun mengenai kepulauan di Laut China Timur yang ditadbir oleh Tokyo, tetapi turut dituntut Beijing. - Agensi/myMetro

Mustahil Salji Turun Di Sini - Saintis Malaysia

Kanak-kanak di Kampung Tualang, Kuala Krai memakai baju sejuk ketika berjalan ke kelas mengaji, semalam. Foto: myMetro

Syahirah Omar, (kanan) bersama adiknya, Fatimah, berselubung kesejukan di Kampung Pusu Tinggi, Besut. Foto: myMetro

Muaz Nordin mengenakan baju tebal di Kota Kinabalu, semalam. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - “Suhu sejuk daripada biasa yang dirasai di kebanyakan tempat terutama kawasan pantai timur dan utara Semenanjung pada minggu ini disebabkan tiupan angin timur laut yang agak kencang dari tanah besar China yang kini sedang mengalami musim sejuk. 
“Adalah agak mustahil untuk negara beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina mendapat salji kerana suhu udara secara umumnya tinggi sepanjang tahun.” Demikian jelas Pegawai Meteorologi Bahagian Khidmat Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Dr Mohd Hisham Mohd Anip yang meminta orang ramai supaya tidak mempercayai kononnya cuaca sejuk yang berlaku di negara ini dipengaruhi kejadian salji di negara jiran. 
Sebaliknya, beliau berkata, secara relatifnya, Januari dan Februari merekodkan suhu minimum yang lebih rendah berbanding bulan lain di kebanyakan tempat di seluruh negara. 
“Selain itu, keadaan cuaca yang baik dan tidak berawan di seluruh negara sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi. 
“Keadaan atmosfera tanpa awan boleh disamakan seperti tiada selimut untuk memanaskan badan kita kerana selimut adalah awan dan badan pula bumi menyebabkan suhu terasa lebih sejuk berbanding biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam. 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus di laman media sosial yang mendakwa suhu di beberapa negeri termasuk Perlis yang dijangka mencatat bacaan serendah 17 darjah Celsius pada Sabtu ini selain di pantai timur semalam yang turut mencatatkan bacaan sama. 
Mengulas dakwaan itu, Mohd Hisham berkata, stesen meteorologi di Chuping, Perlis pernah mencatatkan suhu terendah 17.8 darjah Celcius pada Februari 1994, tetapi semalam bacaannya pada 22 darjah Celcius. 
“Suhu terendah dicatatkan pada tahun ini ialah di Kuala Krai, semalam pada bacaan 17.2 darjah Celcius yang sama seperti Februari 1993. 
Setakat ini, memang kita tidak menerima sebarang laporan mengatakan cuaca sejuk ini akibat daripada negara jiran yang berlaku salji. 
“Salji hanya boleh terbentuk pada takat beku iaitu kosong atau setidak-tidaknya satu atau dua darjah Celcius,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya merujuk laman web JMM atau menghubungi agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang sahih. - myMetro

Sindiket Edar Mercun Dilindungi Kongsi Gelap

Anggota polis memunggah kotak mengandungi mercun yang dirampas. Foto: myMetro

Mercun dan bunga api yang dirampas adalah buatan China. Foto: myMetro


KLANG - Sindiket mengedar mercun dan bunga api dipercayai menggunakan khidmat kongsi gelap untuk melindungi kegiatan haram mereka daripada disabotaj atau dihidu pihak berkuasa, malah ada menempatkan pengawal bersenjata berikutan penemuan sejumlah senjata tajam dalam satu serbuan di sebuah premis di Pandamaran, di sini awal pagi semalam. 
Senjata tajam iaitu tiga bilah parang panjang itu ditemui dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pandamaran diketuai Ketua Polis Balai berkenaan Inspektor Mohd Rushdam Mohd Yusoff dalam sebuah premis di deretan bangunan yang terletak hanya beberapa meter dari Balai Polis berkenaan hasil maklumat orang ramai. 
Ketika pasukan berkenaan melakukan serbuan, beberapa lelaki dipercayai ‘ulat air’ yang sering berlegar sekitar bangunan itu dipercayai diupah sindiket terbabit didapati hilang sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa menyebabkan kawasan berkenaan lengang, sekali gus memaksa polis mengetuk pintu premis beberapa kali untuk mengarahkan penghuninya membuka pintu. 
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, selepas beberapa minit mengetuk, tiada sebarang jawapan diperoleh menyebabkan pasukan berkenaan bertindak memecahkan pintu sebelum menemui sejumlah besar mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM100,000. 
Selain pelbagai jenis bahan letupan itu katanya, pihak berkuasa berkenaan turut menemui tiga parang yang dipercayai digunakan pekerja yang ditugaskan mengawal bahan letupan terbabit daripada ancaman pelbagai pihak sama ada ancaman sindiket lain mahupun kemungkinan persiapan menghalang pihak berkuasa. 
“Serbuan adalah hasil maklumat awam dan bahan larangan berkenaan dipercayai disimpan untuk diedarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina menjelang 31 Januari ini,” katanya ketika dihubungi semalam. 
Sementara itu, Harian Metro difahamkan premis yang menempatkan bahan letupan terbabit adalah milik Majlis Perbandaran Klang (MPK), sekali gus memudahkan pihak berkuasa mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk mengenal pasti identiti penyewanya. - myMetro

IJN Rawat Pesakit Jantung Guna Teknologi Baru

Dr Robaayah (duduk kanan) dan Dr Mohd Azhari (duduk kiri) menunjukkan alat pembedahan VenTouch. Foto: myMetro

Abu Kassim Mat Hassan pesakit pertama menjalani pembedahan VenTouch kini dalam keadaan stabil. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) menjadi institut perubatan pertama di dunia yang berjaya merawat pesakit menggunakan sistem Mardil Medical VenTouch (VenTouch) keluaran syarikat peranti jantung Amerika Syarikat, Mardil Medical Inc. 
Sistem VenTouch adalah terapi surgikal invasif minimum untuk rawatan ‘functional mitral regurgitation’ atau FMR, penyakit berkait dengan kegagalan jantung yang menjejaskan lebih sejuta pesakit di seluruh dunia. 
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata, pihaknya menjalankan pembedahan menggunakan terapi itu ke atas dua pesakit jantung masing-masing berusia 43 dan 52 tahun. 
“Kedua-dua mereka mengalami masalah lemah jantung dan injap bocor sudah berjaya menjalani pembedahan ini pada 21 Januari lalu serta masih dalam pemerhatian dan pemantauan pasukan kami. 
“Sistem VenTouch sebelum ini tidak pernah diuji ke atas manusia dan IJN berbangga kerana menjadi institut perubatan pertama yang mencuba, malah dua pesakit turut menunjukkan tindak balas positif serta memberangsangkan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 
Dr Mohd Azhari mengetuai pembedahan itu bersama Pakar Perunding Kardiothorasik Datuk Dr Jeffrey Jeswant Dillon, Perunding Kardiologi Datuk Dr Rosli Mohd Ali dan Dr Shahrol Anuar Mohd Yasin selain Perunding Anesthelogis Dr Suhaini Kadiman dan Dr Rohit Vijay Jain. 
Sidang media itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif IJN Tan Sri Dr Robaayah Zambahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia Mark Rozario. 
Dalam pada itu, Dr Jeffrey ketika mengulas lanjut prosedur VenTouch berkata, pembedahan pertama mengambil masa lima jam, manakala berikutnya selama dua jam dan 30 minit. 
“Kedua-dua pembedahan berjalan pada hari sama, cuma yang pertama mengambil sedikit masa kerana ia pertama kali diadakan dan banyak perkara perlu diberi perhatian,” katanya. - myMetro

Warga Emas Diperdaya Sindiket Gores Dan Menang

Mangsa gores dan menang sedang di temu ramah wartawan. Foto: myMetro

Kad gores dan menang yang digunakan untuk mengumpan orang ramai. Foto: myMetro

Gambar ejen gores dan menang yang dirakam mangsa. Foto: myMetro


MELAKA - Terpedaya dengan hadiah lumayan termasuk Toyota Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000, seorang pesara kerugian RM12,800 selepas diperdaya sindiket gores dan menang di negeri ini. 
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 66, berkata, dia kerugian RM12,800 selepas memberikan wang berkenaan kepada sindiket itu secara berperingkat dari Disember lalu hingga pertengahan bulan ini. 
Katanya, dalam kejadian jam 11 pagi 25 Disember lalu itu, dia yang baru saja keluar daripada kereta di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Jalan Panglima Awang, didatangi dua lelaki berusia 20-an. 
“Sebaik menutup pintu kereta mereka mengoyakkan kertas mendakwa saya menang cabutan bertuah dan berpeluang memenangi Totoya Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000 atau wang tunai RM28,000. 
“Namun, untuk mengetahui hadiah lumayan yang bakal dimenangi, mereka meminta saya membuat bayaran pendahuluan RM12,800,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di Wisma Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam. - myMetro


Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki. Foto: myMetro


SEREMBAN - Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan manakala tiga lagi cedera di muka serta badan akibat dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang berang selepas mendakwa ditipu sindiket itu, ada yang mencecah puluhan ribu ringgit. 
Kejadian berlaku di premis yang dijadikan pejabat sindiket berkenaan di Jalan Pusat Bandar Senawang 16, di sini, jam 5.40 petang kelmarin. 
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azmi, 30-an berkata, dia melihat 30 lelaki terbabit menaiki motosikal dan kereta seolah-olah merusuh di hadapan premis pejabat sindiket syarikat gores dan menang itu. 
“Saya difahamkan kumpulan 30 lelaki terbabit berang kerana ahli keluarga mereka kerugian belasan ribu hingga puluhan ribu ringgit seorang. Jadi mereka datang untuk meminta semula wang selepas menyedari ditipu. 
“Apabila permintaan mereka tidak dipenuhi, saya lihat kumpulan lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam premis dan memukul empat pekerja gores dan menang itu manakala lapan lagi pekerja berjaya melarikan diri,” katanya. 
Azmi yang bekerja di premis berhampiran pejabat sindiket gores dan menang itu berkata, keadaan begitu kelam-kabut apabila kumpulan lelaki yang merusuh itu bertindak mengejar ahli sindiket yang cuba melarikan diri. 
“Empat ahli sindiket itu juga cuba lari, tapi gagal. Akibatnya mereka dibelasah teruk sehingga seorang pengsan manakala tiga lagi saya lihat lebam di muka mereka,” katanya. 
Jurucakap polis pula berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum mendapati empat lelaki cedera dan akibat dipukul, seorang daripadanya pengsan. 
Menurutnya, mereka yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 146/ 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan kekerasan. 
“Setakat ini polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kejadian untuk disoal siasat,” katanya. - myMetro


Muhabir menunjukkan pengesahan kematian pemilik perniagaan. Foto: myMetro


MELAKA - Satu sindiket gores dan menang di negeri ini dikesan menggunakan taktik menjalankan operasi menerusi perniagaan yang pemiliknya sudah pun meninggal dunia. 
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muhabir Ibrahim berkata, taktik berkenaan dilakukan sindiket dipercayai bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa. 
Menurutnya, taktik berkenaan dikesan hasil serbuan dijalankan pihaknya ke atas sebuah syarikat gores dan menang yang beroperasi di Taman 1 Lagenda, di sini, 13 Januari lalu. 
“Hasil semakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) syarikat berkenaan adalah milikan tunggal yang didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 39 tahun pada 9 Disember 2013, namun hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu berkenaan meninggal dunia pada 22 Disember tahun sama. 
“Si mati dipercayai dipergunakan untuk mendaftarkan perniagaan itu, disebabkan ia milikan tunggal sukar untuk kami mengambil tindakan kerana pemiliknya sudah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di PPDNKK, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam. 
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Keperasi negeri Datuk Wira Latiff Tamby Chik. 
Menurutnya, bagaimanapun SSM yang turut menyertai serbuan itu akan mengambil tindakan mengikut Akta Syarikat 1965 ke atas mereka yang bertanggungjawab menjalankan perniagaan gores dan menang berkenaan. 
“Malah, PPDNKK juga akan meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan sekiranya boleh. 
“Hasil serbuan, selain barangan bernilai hampir RM20,000 termasuk tilam jed dan mesin pengurut kaki disita, seorang lelaki berusia 20-an dipercayai pekerja syarikat itu turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya. - myMetro

Khamis, 23 Januari 2014

Maut Terkena Tembakan 'Bakakuk'

Beberapa laras senapang buatan sendiri atau 'bakakuk' yang berjaya dirampas oleh polis di Sabah. Foto: The Star

Seorang lelaki maut terkena tembakan 'bakakuk' yang dilemparkan ke dalam bot di Membakut, semalam. Foto: Heritage Sabah


KOTA KINABALU - Seorang lelaki berumur 64 tahun maut dipercayai terkena tembakan senapang buatan sendiri yang meletup ketika dilemparkan ke dalam bot di Membakut, semalam. 
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Mustaffa Maaroff Mustaffa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki tempatan yang berasal dari Keningau itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian perutnya. 
"Ketika kejadian, mangsa bersama tiga orang ahli keluarganya dan seorang pemandu bot baru balik dari memburu kelawar. 
"Mangsa telah melemparkan senjata dipanggil 'bakakuk' itu ke dalam bot sebelum meletup di Sungai Pimping, Membakut," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis pelancaran buku "Amalan Menyambut Kelahiran Menyusuri Sunah Nabi Akhir Zaman" di sini, semalam. 
Mustaffa menambah, mayat mangsa telah dibawa ahli keluarganya ke Hospital Keningau dan pihak hospital telah memaklumkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira 8 malam. 
"Polis telah menahan tiga orang ahli keluarga mangsa yang berumur dalam lingkungan 30an untuk membantu siasatan," katanya. 
Katanya, polis turut menemui selaras 'short gun' berlesen dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan. - Bernama