Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 16 Januari 2013

Mati Tertimbus Buah Sawit

Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kemalangan. Foto: myMetro

Buah sawit berselerak di kilang berkenaan. Foto: myMetro


HULU TERENGGANU: Tiga pekerja kilang sawit Felcra Bukit Kepah, di sini, maut manakala empat rakan mereka cedera, termasuk seorang kritikal selepas mesin pengukus buah sawit meletup, dalam kejadian kira-kira 7.50 petang semalam. 
Mangsa yang terbunuh adalah penyelia kilang berkenaan, Azmi Abdullah, 47, dari Kampung Padang Tengir, Manir, Kuala Terengganu, manakala dua lagi adalah pekerja warga Nepal.

Kedua-dua pekerja warga Nepal berkenaan dikenali sebagai Pramod Kumar Ray, 30, dan Sanjib Kumar Pasman, 26.

Mereka yang cedera adalah Ahmmed Ali, 39, dan Reyuwan Morom Ali, 45, masing-masing dari Bangladesh dan seorang warga Nepal, Sabad Yadav, 44.

Seorang lagi pekerja, Mohd Razlan Mokhtar, 25, dari Kampung Felcra Bukit Kepah, melecur kira-kira 80 peratus dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mereka sedang bekerja dan tiba-tiba pengukus itu meletup sehingga menyebabkan percikan api.

“Percikan api kemudian menyambar timbunan buah kelapa sawit yang ada atas gerabak dekat mesin berkenaan. Buah kepala sawit itu kemudian bertaburan sehingga menyebabkan dua mangsa tertimbus.

“Penyelia itu pula dikatakan maut dihempap mesin pengukus yang terbang kira-kira 30 meter dari kedudukan asalnya. Letupan berkenaan menyebabkan tiang dan bumbung di kawasan mereka bekerja hampir runtuh,” katanya.

Menurutnya, punca mesin pengukus itu meletup masih dalam siasatan. - myMetro


Seorang Lagi Mangsa Letupan Meninggal Dunia


HULU TERENGGANU - Seorang lagi mangsa kejadian letupan di kilang memproses kelapa sawit di sini lewat petang semalam, meninggal dunia pagi ini di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, menjadikan angka kematian kepada empat orang. 
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Ismail Muslim berkata, Mohd Razlan Mokhtar, 25, berasal dari Kuala Berang meninggal dunia kira-kira 9.30 pagi ini. 
"Mangsa meninggal selepas hampir 13 jam dirawat di HSNZ setelah melecur hampir 90 peratus anggota badan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 
Dalam kejadian letupan di kilang itu kira-kira 7.45 malam tadi, tiga maut iaitu penyelia Azmi Abdullah, 47, dan dua pekerja warga Nepal iaitu Pramod Kumar Ray, 30, dan Sanjib Kumar Pasman, 26, manakala seorang kritikal dan tiga lagi cedera ringan. 
Mohd Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca satu daripada mesin mengukus buah kelapa sawit di kilang itu meletup namun siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. 
Katanya tiga mangsa yang cedera ringan terdiri dua warganegara Bangladesh Ahmmed Ali, 39, dan Rezuyam Marom Ali, 45, dan Sabad Yedan, 44, dari Nepal yang dirawat di Hospital Hulu Terengganu sudah dibenarkan keluar hospital. - Bernama


Apa Kata Pekerja Kilang Yang Selamat



Keadaan dalam kilang selepas letupan. Foto:myMetro

Maklumat mengenai kemalangan. Sumber: myMetro


Hulu Terengganu: “Saya nampak Azmi menggelupur kesakitan manakala Pramod sudah tidak bergerak dan badannya berasap,” kata Burhanuddin Atur Ali, 35, menceritakan kejadian letupan di Kilang Vila Sutera Sdn Bhd di Kampung FELCRA Bukit Kapah, Hulu Terengganu, malam kelmarin. 
Pekerja warga Bangladesh itu berkata, ketika kejadian dia sedang memunggah buah sawit kira-kira 10 meter dari tujuh rakannya yang sibuk memasukkan buah sawit ke dalam jentera penyuci hama buah sawit sebelum ia meletup pada jam 7.50 malam.

Akibat letupan itu, empat daripada pekerja terbabit terbunuh iaitu penyelia kilang, Azmi Abdullah, 47; Mohd Razlan Mokhtar, 25, serta dua pekerja Nepal, Sanjib Kumar Pasman, 26, dan Pramod Kumar Ray, 30. 
Azmi dari Kampung Padang Tengir, Manir, Kuala Terengganu dan Pramod mati di tempat kejadian, Sanjib mati di Hospital Hulu Terengganu (HHT) manakala Mohd Razlan yang juga penduduk Kampung FELCRA Bukit Kapah, meninggal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. 
Tiga lagi pekerja hanya cedera ringan iaitu dua rakyat Bangladesh dikenali sebagai Ahmmed Ali, 39, dan Rezuyan Morom Ali, 45, serta seorang warga Nepal, Sabad Yadav, 44. Mereka dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di HHT, semalam. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.