|
Wan Ummar ditemani Wan Rahimah dan saudara terdekat menunjukkan surat JPN yang menolak permohonannya untuk mendaftar lewat kelahiran di Kuala Krai. Foto: Sinar Harian
|
|
KOTA KINABALU, 18 Jan — Dua orang warga asing Pakistan dan India memberitahu inkuiri Suruhanjaya Di Raja (RCI) mengenai pendatang asing mengakui mereka mendapat kad pengenalan biru kurang dari 10 tahun selepas tiba di Sabah pada tahun 1980an. Sumber: themalaysianinsider
|
KUALA KRAI - Hasrat seorang anak muda dari Kampung Telekong, di sini, Wan Ummar Wan Ibrahim untuk mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya pertengahan tahun ini mungkin tidak kesampaian gara-gara tidak memiliki kad pengenalan atau MyKad.
Kemungkinan itu menambahkan lagi kesukaran dihadapi anak ketiga daripada 10 beradik itu yang sebelum ini tidak pernah bersekolah, dan hidup susah lantaran dianggap bukan warga Malaysia kerana masalah sama.
Wan Ummar, 28, berkata, dia tiada dokumen pengenalan diri termasuk sijil lahir kerana dilahirkan di rumah bidan kampung dan bapanya, Wan Ibrahim Wan Ismail pula gagal mendaftarkan kelahirannya.
Katanya, dia sendiri tidak tahu punca kelahirannya tidak didaftar sedangkan semua adik-beradik termasuk dua kakaknya, Wan Khadijah, 32, dan Wan Norazizah, 30, memiliki sijil lahir dan kad pengenalan.
“Sebab tidak ada kad pengenalan, saya tidak dapat bersekolah dan sentiasa hidup dalam ketakutan kerana nak elak daripada ditahan pihak berkuasa gara-gara disangka pendatang asing.
“Masalah sama menyebabkan saya sukar dapat pekerjaan dan sekarang, terpaksa bekerja buruh ladang di pedalaman Gua Musang,” katanya.
Wan Ummar berkata, sedar betapa penting kad pengenalan terutama untuk urusan perkahwinannya, ayahnya menghantar permohonan Pendaftaran Lewat Kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), November tahun lalu.
Katanya, biarpun tiada dokumen sokongan seperti rekod perubatan ibu, permohonan itu disokong beberapa saksi termasuk bidan yang menyambut kelahirannya, Zaharah Che Merah, 69, penghulu mukim, dua jiran dan ayahnya sendiri.
“Saya dan semua saksi sudah dipanggil Panel Temuduga Pendaftaran Lewat Kelahiran JPN Kuala Krai tetapi pada 25 November lalu, mereka keluarkan surat menolak permohonan kami,” katanya.
Tidak mahu berputus asa kata Wan Ummar, dia segera membuat rayuan terhadap keputusan itu dan mengemukakan permohonan baru kepada JPN daerah dengan menyertakan beberapa saksi tambahan termasuk saudara terdekat.
“Tetapi selepas hampir empat bulan hantar surat rayuan, saya buntu kerana sampai sekarang masih tidak ada maklum balas daripada JPN, sedangkan tarikh perkahwinan semakin hampir,” katanya.
Adik Wan Ummar, Wan Rahimah, 24, pula berkata, dia amat berharap JPN akan mempertimbangkan permohonan abangnya, yang selama ini berdepan pelbagai kesukaran dan ‘hidup tidak tenteram’ kerana tiada kad pengenalan.
“Abang saya pernah ditangkap polis kerana tidak ada kad pengenalan tetapi bernasib baik kerana tidak ditahan. Berilah dia peluang untuk hidup bebas seperti adik-beradik lain.
“Dia juga akan jadi wali pernikahan saya dan adik perempuan yang lain nanti jika berlaku apa-apa pada ayah kami kerana dia (Wan Ummar) abang paling tua,” katanya.
Sementara itu, JPN dalam surat menolak permohonan Pendaftaran Lewat Kelahiran oleh Wan Ibrahim menggariskan empat sebab, termasuk bukti kelahiran dikemukakan tidak lengkap dan terdapat percanggahan serta keraguan terhadap dokumen dikemukakan.
Dua lagi sebab permohonan itu ditolak ialah permohonan tidak menepati syarat sebagaimana Seksyen 12 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) serta dokumen dikemukakan tidak lengkap. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.