Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 19 Mac 2013

Wang Hantaran Kahwin Lesap

Apakah wang hantaran kahwin secara tunai seperti ini masih relevan pada zaman ini? (gambar hiasan). Foto: goldenemas.com

Tidak bolehkah wang tunai untuk hantaran diganti dengan cek seperti ini untuk tujuan keselamatan? Foto: nncraft.blogspot.com

Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif. Foto: Sinar Harian


BATU GAJAH - Akibat terlalu sibuk melayan tetamu dalam majlis kenduri anak perempuannya, seorang suri rumah berputih mata apabila wang hantaran berjumlah RM8,000 hilang dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah dua tingkat di Taman Tasik Permai, di sini, Sabtu lalu. 
Ketua Polis Daerah Baru Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, dalam kejadian yang berlaku antara jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang itu, suri rumah berusia 56 tahun bersama anak dan saudara maranya sibuk menguruskan hal majlis perkahwinan serta menyambut kedatangan rombongan pengantin lelaki. 
Menurutnya, melalui laporan polis yang dibuat mangsa, wang hantaran serta barangan peribadi yang disimpan dalam bilik bawah dan atas rumah didapati hilang. 
“Barangan yang hilang termasuklah wang hantaran berjumlah RM8,000, tiga telefon bimbit jenama Nokia, dua telefon pintar jenis Blackberry, dokumen pengenalan mangsa, anak perempuannya dan seorang tetamu dari Singapura. 
“Sewaktu kejadian mangsa bersama anak serta saudara maranya telah meninggalkan bilik-bilik tersebut tidak berkunci tanpa pengawasan. Selain itu, dipercayai lebih kurang 30 orang tetamu berada dalam rumah. 
“Mangsa berkata, kehilangan wang hantaran serta barangan lain hanya disedari selepas tamat majlis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 
Shahron berkata, pihaknya tidak menemui sebarang kesan pecah atau berselerak di dalam rumah yang tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu. 
Katanya, mangsa turut memberitahu tiada saksi yang melihat kejadian tersebut dan mangsa juga tidak mengesyaki siapa yang melakukan perkara tersebut. 
Beliau berkata, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda. 
“Berikutan itu, kami menasihatkan supaya tuan rumah berhati-hati dan berwaspada ketika menganjurkan sebarang majlis kenduri atau keramaian. 
“Jangan sesekali meninggalkan barangan berharga ataupun wang di bilik yang tidak diawasi mahupun berkunci. 
“Selain itu, tuan rumah perlu memastikan tiada dalam kalangan jemputan yang hadir adalah orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan kejadian seumpamanya daripada berlaku,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.