Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 23 Mac 2013

Ulamak Sunnah Maut Akibat Letupan Bom Di Masjid

Masjid Eman rosak teruk angkara pengebom berani mati, menyebabkan Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti maut

Kejadian berlaku waktu malam, membunuh ulamak Sunnah yang menyokong pemerintahan Presiden Bashar Assad

Televisyen Syria menyalahkan pengganas atas kejadian berkenaan

Doktor sedang merawat seorang lelaki yang cedera akibat letupan bom di Masjid Eman

Rakaman TV Syria menunjukkan ramai yang terbunuh dan cedera

Dianggarkan lebih 40 orang terbunuh


DAMSYIK: Ulama Sunnah terkenal Syria, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti terbunuh bersama 48 yang lain dalam serangan bom ketika sedang mengajar agama dalam Masjid Iman, di tengah ibu kota negara itu kelmarin. 
Beliau diketahui sebagai penyokong kuat pentadbiran Presiden Bashar al-Assad dan sering mengajar agama di negara itu. 
Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti
“Penyerang dilaporkan meletupkan bom yang dipasang pada badan, menyebabkan 48 meninggal dunia dan 84 lagi cedera,” lapor televisyen tempatan yang memetik kenyataan jurucakap Kementerian Kesihatan. 
Laporan terkini menyatakan turut meninggal dunia dalam serangan itu ialah cucu lelakinya. 
Televisyen prokerajaan menyiarkan keadaan mengerikan dalam masjid dengan berpuluh-puluh mayat dan cebisan tubuh, termasuk kaki dan tangan di permaidani dengan banyak kesan darah. Pekerja kecemasan juga dilihat mengumpul mayat dan membawanya keluar dalam beg kelabu. 
Mohammad Said adalah ulama Sunnah paling kanan yang menyokong kerajaan Syria dan kematiannya dikatakan memberi tamparan hebat kepada Bashar dalam menghalang kebangkitan pemberontakan. 
Dilahirkan pada 1929, beliau berasal dari sebuah keluarga Kurdis dan menghabiskan bertahun-tahun mendalami agama Islam termasuk di Universiti Al-Azhar, Kaherah. 
Beliau dicerca oleh pembangkang dan kerap menyelar pemberontak sambil menggalakkan rakyat Syria menyertai tentera berjuang menentang mereka. 
Syria dikuasai anggota minoriti mazhab Alawiyah dan bergantung kepada ulama seperti Mohammad Said untuk menyokong dasar kerajaan sebagai mewakili semua rakyat termasuk golongan Sunnah yang membentuk kumpulan utama dalam pembangkang. 
Serangan itu berlaku ketika pertempuran berterusan di seluruh negara dengan pemberontak dilaporkan menguasai Bukit Golan yang sebahagiannya diduduki Israel. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.