Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 29 Mac 2013

Pelajar Lemas Selepas Main Bola

Mayat Hafizul Alimi diusung pasukan penyelamat sebaik ditemui di dasar sungai untuk dihantar ke HGM. Foto: Sinar Harian


GUA MUSANG - “Saya lihat dia terkapai-kapai dihanyutkan arus deras, tetapi saya tidak dapat menolongnya kerana saya sendiri turut dihanyutkan arus," kata Dzulaqma Budriz Shah, 14, rakan Hafizul Alimi Nuzul, 14, yang ditemui mati lemas, pagi semalam. 
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa bersama 11 rakan lain mandi di Sungai Ketil berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas bermain bola di padang Taman Wangi. 
Mayat Hafizul Alimi, ditemui di dasar sungai itu kira-kira 11.15 pagi hanya 200 meter dari tempat mangsa terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras oleh sepasukan anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang bersama buruh binaan rumah PPR itu. 
Mangsa pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 (SMKTIP1) yang tinggal di Kampung Tanah Puteh dikatakan bermain bola sepak di padang bola Taman Wangi kira-kira jam 8.30 pagi sebelum ke sungai itu 9.45 pagi. 
Ketika menceritakan detik cemas kejadian itu, Dzulaqma, berkata, sebelum kejadian mangsa kelihatan biasa sahaja ketika turun ke sungai untuk mandi bersama-sama. 
Katanya, sebaik sedang mandi, mangsa berjalan ke lokasi lain sebelum kaki tergelincir dan dihanyutkan arus hingga ke kawasan lebih dalam menyebabkan cemas untuk menolongnya. 
Beliau berkata, dia sempat menyelamatkan mangsa, tetapi sekali lagi berlaku demikian hingga tidak lagi sempat berbuat demikian hingga Hafizul Alimi hilang dihanyutkan arus. 
“Saya sedaya upaya cuba menyelamatkan mangsa apabila ternampak dia tenggelam timbul dalam keadaan mulut berbuih, tetapi saya pula hampir lemas menyebabkan saya berenang untuk menyelamat diri sendiri. 
“Sebaik saya sampai ke tebing, saya lihat dia sudah hilang sambil saya melaungkan rakan yang lain supaya cepat mencari mangsa, namun kebanyakan rakan itu tidak mahu kerana takut dengan kejadian terbabit,” katanya. 
Dzulaqma Budriz berkata, sudah biasa bagi kumpulannya mandi di sungai itu setiap kali selepas bermain bola kerana sungai berkenaan juga terletak berhampiran padang bola terbabit. 
“Saya terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa untuk kali kedua disebabkan arus deras dan air dapat menyebabkan saya sendiri hampir lemas dibawa arus, tetapi bersyukur saya masih selamat,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.