|
Keadaan lori membawa muatan pasir terbabas ke kanan jalan. Foto: Sinar Harian |
|
Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kejadian kemalangan itu. Foto: Sinar Harian |
|
Mayat mangsa maut ditempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut. Foto: Sinar Harian |
|
Keadaan kereta yang dinaiki oleh mangsa. Foto: Sinar Harian |
TAPAH - Pasangan suami isteri maut manakala dua anak mereka parah dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 53 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, Zainol Romli, 62, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Sarimah Salleh, 38, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah kira-kira jam 4 petang.
Ketika kejadian, mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil bersama dua anak mereka yang dikenali Norhidayah Suhaimi, 19, dan Mohd Adam Haziq, 3, dalam perjalanan dari Tapah ke Kampar.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Zainol masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori muatan pasir.
Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan kereta mangsa berpusing di tengah jalan sementara lori berkenaan terbabas ke kanan jalan lalu terbalik merintangi laluan.
“Dalam masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah Tapah ke Kampar tidak sempat mengelak dan turut melanggar kereta yang dinaiki mangsa.
“Sebuah pacuan empat roda yang dinaiki empat penumpang juga tidak sempat mengelak lalu merempuh lori yang merentangi laluan berkenaan,” katanya.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Chendek Pura, Mukim Kedawang, Langkawi, Kedah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala, sementara anak mangsa masih dirawat di Hospital Tapah.
Pemandu dan penumpang di dalam kereta Myvi, pacuan empat roda dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Som Sak berkata, buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Bomba dan Penyelamat Tapah, Meor Mohd Ali Meor Husien berkata, operasi menyelamat yang diketuai oleh Ketua Operasi Abd Kadir Awang itu tiba di tempat kejadian pada jam 12.02 tengah hari sebaik menerima panggilan kira-kira jam 11.56 pagi.
Menurutnya, akibat kesan remuk yang teruk pada bahagian hadapan kereta, sembilan anggota bomba yang tiba dengan sebuah jentera dan dua motosikal mengambil kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan semua mangsa tersepit.
“Ketika operasi menyelamat mangsa, kita dapati pemandu kereta sudah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang lain dalam keadaan parah sebelum dihantar ke Hospital Tapah.
“Operasi menyelamat berakhir pada jam 12.32 tengah hari,” katanya. - Sinar Harian 16.3.2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.